All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, November 7, 2010

Rahsia di sebalik nama Asha Fayyed


GARA-GARA namanya seakan-akan jutawan Arab Saudi, Dodi Al Fayed, gadis tinggi lampai berdarah kacukan Arab, Pakistan dan Minang ini, Asha Fayyed sering kali diajukan soalan sama ada jutawan itu mempunyai pertalian darah dengan keluarganya.

Bahkan, mewarisi darah dan iras wajah gadis Timur Tengah, ia menguatkan lagi spekulasi itu di kalangan rakan-rakannya.

Namun, semua itu bukanlah fakta yang ada pada diri gadis berusia 23 tahun ini kerana nama sebenarnya ialah Siti Aishah Wahid.

Menurut Asha, pemilihan nama komersialnya itu adalah disebabkan terlalu ramai insan seni yang memiliki nama yang sama dengannya.

Katanya, nama Fayyed itu merupakan hasil gabungan dua nama iaitu nama ibunya, Fauziah dan nama ayahnya, Wahid.

"Kesimpulannya, saya sememangnya tidak ada pertalian darah dengan jutawan itu dan saya hanyalah orang biasa yang berketurunan Arab.

"Bukan tak mahu menggunakan nama sebenar, cuma saya tak nak mengundang kekeliruan di kalangan peminat dan penggiat industri muzik tanah air," ujar Asha panjang lebar memperjelaskan cerita sebenar di sebalik namanya.

Warisi bakat seni keluarga

Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Pepatah Melayu itu cukup sesuai dikaitkan dengan gadis lemah lembut ini memandangkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya diwarisi daripada ahli keluarganya yang aktif menyanyi.

Suatu ketika dahulu, ibu Asha, Fauziah Mohd. Nor, merupakan seorang anggota polis yang aktif menyanyi bersama kumpulan muzik Polis Diraja Malaysia.

Sopan mengatur bicaranya, Asha memberitahu, sejak kecil, dia sering menghadiri persembahan yang dijayakan oleh ibunya.

"Kalau mak ada persembahan di majlis-majlis keramaian, ayah akan bawa kami adik beradik untuk menyaksikan mak menyanyi.

"Jadi, sedikit sebanyak minat untuk menyanyi itu datang dengan sendirinya sebab kalau ada saudara yang mengadakan kenduri kahwin, mak akan ajak saya menyanyi sekali," cerita Asha yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Di samping itu, kebolehan ibu saudaranya, Rosni Mohd. Nor mendendangkan lagu ghazal bersama kumpulan muziknya turut menyuntik semangat dalam diri Asha untuk mencintai lagu berirama tradisional.

Tambah Asha, ibu saudaranya itu selalu mengajarnya teknik menyanyikan lagu-lagu asli Melayu sekaligus membuatkan cintanya terhadap lagu asli semakin mendalam.

Dalam pada itu, Asha turut aktif melantunkan lagu berentak begitu ketika menyertai kumpulan kebudayaan Negeri Sembilan.

"Pada awalnya, saya akui agak sukar untuk mengikut lenggok nyanyian lagu asli. Tapi, setelah diajar teknik yang betul, kemahiran saya semakin lama semakin bertambah.

"Teknik itulah yang membuatkan saya memandang lagu asli ini sebagai sebuah karya seni yang tidak ternilai kerana tidak semua orang mampu menyanyikan lagu asli.

"Bermula dari situ, saya berazam untuk memperjuangkan lagu warisan zaman ini walaupun ramai artis sebaya saya lebih cenderung ke arah lagu berentak moden," tekad Asha pada dirinya.


sumber : www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates