All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, November 7, 2010

perkahwinan Saida Belum berakhir

Saida dan suami cuba jernih kekeruhan dalam rumahtangga

DI lubuk hatinya yang paling dalam, tersimpan sebuah rahsia yang tidak mungkin dikongsi dengan sesiapa. Mulutnya dikunci rapat. Seboleh mungkin dia tidak mahu gelora yang melanda bahtera rumah tangganya menjadi bualan khalayak. Benar, dia seorang artis yang sering dikatakan menjadi milik masyarakat. Namun gelaran itu bukanlah lesen untuknya bercerita kepincangan yang berlaku terhadap rumah tangga yang dibina sejak 14 tahun lalu.

Sejak cerita penyanyi Siti Nursaida Tarudin atau Saida memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Mohd Ghazali Yahya Zikri dihidu media, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam ini dilihat seperti cuba melarikan diri. Telefon tidak diangkat, SMS tidak berjawab, jauh sekali mahu bertemu wartawan untuk menceritakan kisah sebenar.
Memang sukar untuk mendapatkan Saida kerana ibu kepada empat cahaya mata ini memang tidak mahu berkongsi langsung perihal perkahwinannya yang dikatakan bergoncang itu. Malah, usaha media bertandang ke rumahnya untuk bersemuka juga bertemu jalan buntu.

Bagaimanapun, diam Saida tidak lama. Entah dari mana datangnya kekuatan, penyanyi yang baru saja muncul dengan album Apresiasi ini akhirnya terbuka hati untuk bertemu wakil media. Pun begitu, kesudiannya itu bukan untuk membuka pekung di dada ataupun menuding jari pada mana-mana pihak. Sebaliknya dia mahu semua spekulasi yang tidak benar, yang sedang bertebaran ketika ini, dihentikan serta-merta.

“Saya bukannya mahu melarikan diri daripada media, tapi dalam situasi seperti ini, saya rasa lebih baik untuk saya mendiamkan diri. Kalau boleh saya memang tidak mahu kisah rumah tangga saya diperbesar-besarkan. Ada banyak hati yang perlu saya jaga - keluarga saya, keluarga mentua dan juga suami saya sendiri.

"Suami saya sendiri risau apabila saya katakan yang saya mahu bertemu media hari ini, kerana bimbang proses memulihkan kembali hubungan kami akan terjejas gara-gara cerita yang tidak benar tersebar,” luah Saida membuka bicara.
Daripada gerak tubuh dan riak wajahnya, jelas Saida sangat tidak selesa untuk membicarakan kemelut itu dengan lebih lanjut. Berkali-kali dia meminta supaya tidak ditanya apakah punca dia bertindak memfailkan perceraian.

“Apa yang berlaku, biarlah saya, suami dan Tuhan saja yang tahu. Namun, apa yang boleh saya katakan, perkara ini tidak ada kena mengena dengan kehadiran orang ketiga ataupun populariti yang dikecapi sejak saya bergelar artis,” tegas kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ini.

Saida memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohd Ghazali, 40 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, 6 Oktober lalu.

Memang sukar untuk menebak apa yang tersirat dalam hati wanita bertubuh kecil molek ini. Meskipun bibirnya sentiasa menguntumkan senyuman namun gelora di hati, siapa yang tahu? Dan melihat kepada diri Saida sendiri, mana mungkin dia boleh bertindak seperti itu jika hati wanitanya tidak disakiti.

“Sewaktu bertindak memfailkan perceraian itu, saya memang nekad. Bulat sudah hati ini sewaktu membuat keputusan itu. Semuanya saya lakukan atas kerelaan sendiri tanpa merujuk mana-mana pihak.

“Disebabkan itulah apabila cerita saya memfailkan perceraian itu tersebar, keluarga saya terkejut besar. Malah suami saya juga tak sangka saya boleh bertindak sejauh itu. Mungkin selama ini saya lebih banyak memendam rasa dan berlakulah tindakan yang tidak diduga seperti itu.

“Saya akui, sebagai manusia saya juga ada kelemahan diri. Ada ketika saya memang membuat keputusan mengikut kata hati sendiri,” luah Pengurus Kewangan Siti Nurhaliza Productions (SNP) itu.

Bagaimanapun, selepas mengambil kata nasihat yang diberikan keluarga, Saida akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan krisis rumah tangganya itu dengan cara mereka sendiri. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berombak.

“Semua pihak mengharapkan kemelut ini dapat dipulihkan dengan segera. Justeru, saya amat berharap supaya masyarakat di luar sana memberi ruang buat kami menyelesaikan masalah kami tanpa sebarang gangguan cerita yang tidak benar, yang boleh menjejaskan usaha kami ini,” tegasnya yang turut menghadiri kaunseling sebagai usaha memulihkan kembali hubungan mereka suami isteri.

Pada prosiding 26 Oktober lalu, peguam syarie, Noor Azlina Che Hasan yang mewakili Saida memohon agar mahkamah memberi tempoh dua bulan kerana kedua-dua pihak berhasrat berbincang semula, sama ada mahu meneruskan permohonan itu atau sebaliknya.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan kes itu disebut semula pada 20 Disember depan.

Bercuti bersama

BUKAN calang-calang wanita mampu berdepan dengan masalah rumah tangga. Apatah lagi jika keputusan yang bakal diambil itu berkait rapat dengan perceraian. Silap cara, boleh trauma jadinya. Namun, bagi Saida masalah itu tidak pernah menekan hidupnya.

“Setakat ini, saya okey saja. Saya masih menjalani kehidupan macam biasa. Begitu juga dengan soal karier, masih berjalan seperti biasa. Masalah ini tidak menjejaskan langsung perjalanan kerjaya nyanyian saya,” katanya.

Kata Saida lagi, jika tiada aral melintang, sempena cuti persekolahan ini, dia, suami dan anak-anak akan pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, Pahang bagi meraikan Aidiladha.

“Saya akan gunakan peluang ini untuk memperbaiki kembali hubungan kami dan saya harap peminat semua mendoakan yang terbaik buat kami sekeluarga,” pinta Saida penuh pengertian.

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates