All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Wednesday, October 27, 2010

Zizan raja lawak nafi cintai Diana

KERJAYANYA baru hendak menampakkan hasilnya setelah empat tahun bergelumang dalam dunia seni. Sama naik dengan kerjanya sudah pasti sahamnya sebagai lelaki bujang yang diburu wanita. Terbaru selepas berpisah secara rasmi dengan kekasihnya, penyanyi dan pelakon Leez, Zizan kini dikatakan berkawan rapat dengan pelakon baru Diana Amir.

Malah, hubungan antara mereka juga dikatakan luar biasa seperti orang yang sedang bercinta. Ada saksi yang melihat mereka berdua pernah keluar makan bersama. Menjawab persoalan cinta dan hatinya, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abul Razak yang ditemui pada majlis anjuran Butik Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak menafikan yang dia pernah keluar bersama dengan Diana Amir.

Dalam tawa Zizan berkata: "Memang saya ada keluar dengan dia tetapi hubungan kami tidak lebih daripada seorang teman dalam bidang hiburan.

"Dia seorang pelakon baru dan banyak bertanya kepada saya tentang kerja. Lagipun sebelum ini saya memang berkawan dengan abang Diana. Jadi, saya rasa bukan satu kesalahan untuk saya keluar dengan dia. Kalau ikutkan saya ada juga keluar dengan teman-teman artis yang lain tetapi tidak pula dikata bercinta."

Menurut jejaka berusia 26 tahun itu lagi, buat masa ini fokusnya hanya untuk kerja kerana fikirannya tidak mengizinkan dia melakukan dua kerja secara serentak.


ZIZAN berhasrat mahu menyediakan kesenangan buat bakal isterinya nanti.


"Saya memang tidak mahu bercinta dan mempunyai komitmen buat masa sekarang kerana tidak mahu mengganggu perjalanan kerja saya. Otak saya tidak boleh fokus jika saya lakukan dua perkara secara serentak. Jadi fokus saya hanya kerja bukannya untuk mencari kekasih," luahnya.

Sungguhpun begitu, menurut Zizan lagi, andai sudah sampai waktunya untuk berumahtangga, dia akan mula serius untuk memilih calon isteri kelak.

"Saya jenis lelaki yang mahu isteri saya cuci kaki sahaja bila berkahwin dengan saya. Maknanya saya ingin sediakan segala kelengkapan seperti rumah dan kewangan yang stabil sebelum berkahwin.

"Itu hasrat saya. Untuk mencapainya saya rasa bukan dalam masa terdekat, maknanya dalam masa terdekat ini saya tidak akan bercinta kerana mahu bekerja keras," tuturnya.

Bercerita lanjut mengenai wanita pilihannya, riak wajah Zizan terus bertukar serius dan berkata dia tidak memandang rupa paras sebaliknya mahukan wanita yang mampu menjaga anak-anak dan keluarganya dengan baik selain wanita itu haruslah mampu membimbingnya untuk menjadi insan yang lebih baik.

Seumur hidup

"Saya tidak kata saya baik, memang lelaki harus membimbing wanita bila berkahwin tetapi untuk mencari pasangan untuk seumur hidup wanita itu juga harus membimbing saya andai saya tersasar dari landasan," ucapnya jujur.


TINGGAL kenangan. Zizan pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Leez suatu ketika dahulu.


Zizan juga tidak menolak andai jodohnya kelak adalah wanita yang bekerja dalam bidang yang sama dengannya. Baginya, artis itu hanya satu kerjaya. Apa yang penting adalah hati.

"Siapa kata orang bukan artis itu baik dan artis itu semuanya jahat. Ada juga orang biasa yang perangainya teruk. Begitu juga dengan artis, ada yang baik.

"Kalau sudah jodoh saya dengan artis juga, kahwin sahajalah. Kalau susah sangat nanti saya suruh emak saya carikan," katanya sambil ketawa besar.

Meskipun usia penglibatan Zizan dalam bidang seni masih baru, anak kelahiran negeri Terengganu itu bagaimanapun sudah mula berfikir panjang untuk masa depannya.

Merancang untuk memiliki sebuah syarikat sendiri suatu hari nanti, Zizan menjelaskan, syarikat itu akan menjadi periuk nasinya apabila dia sudah tidak lagi popular seperti hari ini.

"Saya jadikan ahli perniagaan Datuk Sani Salleh sebagai idola kerana dia mempunyai sebuah syarikat bas yang besar. Kalau boleh saya pun mahu jadi sepertinya, cuma bidang perniagaan apa yang mahu saya ceburi belum tahu lagi.

"Setakat hari ini saya sudah mula dengan menjual pakaian. Untuk buka syarikat, ia masih lagi dalam perancangan, mungkin saya akan buka sebuah syarikat produksi," balasnya.


sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates