All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Tuesday, October 26, 2010

Kelainan finalGadis Melayu 3

PELBAGAI ilmu telah ditimba oleh sembilan orang gadis cantik ini bagi melengkapkan diri untuk bergelar ikon Gadis Melayu 3 (GM3).

Ilmu kemahiran kendiri, kecantikan, warisan bangsa serta ketahanan diri, adalah antara ilmu yang dipelajari sepanjang tiga bulan program ini berjalan.

Setelah melalui pelbagai proses pembelajaran dan cabaran fizikal dan kerohanian dalam membentuk nilai-nilai kemelayuan yang kian pupus ditelan zaman, kini kesemua peserta telah bersedia menempuhi malam penentuan.

Rancangan realiti milik TV9 akan menemui juaranya pada malam akhir GM3 yang akan bersiaran secara langsung pada 29 Oktober ini pada hari Jumaat, selama dua jam mulai pukul 8.30 malam.

Peserta-peserta GM3 ialah Afiqah Hazwani Md Nordin, 18, atau lebih dikenali Afiqah dari Johor; Nur Diana Zainuddin (Diana), 19, dari Pulau Pinang dan Nor Shamimi Ernida Mansor (Mimie), 20, dari Kedah.

Lain-lain termasuk Fatheen Nabila Ghazali (Fatheen), 24, dari Johor; Norazrina Mohd Salleh (Rina), 25, dari Selangor dan Siti Nur Afiqah Abdullah (Siti), 21, dari Kelantan.

Tiga peserta lain terdiri daripada Norhidayah Samsudin (Hidayah), 21, dari Johor; Siti Nurzakiah Abdul Aziz (Zakiah), 21, dari Selangor dan Siti Mastura Mohamad Saleh (Mastura), 24, dari Pahang.

Pelbagai keistimewaan, kelainan dan kejutan akan dibawa pada musim ini yang pastinya akan menggamatkan lagi malam bersejarah tersebut.

Selain kesemua peserta seramai sembilan orang itu bergelar peserta akhir, turut akan diadakan buat pertama kalinya persembahan teater muzikal oleh mereka untuk dinilai oleh para juri pada malam itu

Menurut Penerbit Eksekutif GM3, Wan Sabariah Shikh Ali, teater muzikal itu bagi menguji mereka dari segi nilai-nilai kemanusiaan dalam menyentuh tiga isu semasa yang sedang hangat diperkatakan.

Tiga tajuk teater muzikal yang akan dipersembahkan mereka pada mereka pada malam itu nanti ialah Bencana Banjir di Pakistan, Gaza Kami Endah dan Sayangi Anugerah Itu iaitu tentang isu pembuangan bayi.

"Musim-musim sebelum ini, peserta diberi kebebasan menonjolkan bakat mereka tidak kira menyanyi, menari mahupun berpuisi pada malam akhir, tapi kali ini kami mahu menetapkan satu bidang sahaja.

"Teater Muzikal ini fokus kepada nilai isu kemasyarakatan dan kemanusiaan. Kesemua peserta perlu hayati dan membuat kajian sebelum latihan dalam menyampaikan watak-watak mereka nanti.

"Konsep baru bagi malam final ini bertujuan memancarkan sikap ambil berat dan kemampuan calon Ikon GM3 apabila berhadapan dengan sebarang tragedi yang melanda di dalam mahupun di luar negara.

"Teater muzikal ini akan turut menampilkan beberapa pelakon tanah air untuk membantu menghidupkan watak serta penampilan khas daripada beberapa tokoh kenamaan negara," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Gadis Melayu 3 Final di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teater muzikal ini diarahkan oleh pengarah teater terkenal, Norzizi Zulkifli dan skrip tulisan Wan Sabariah sendiri.

Pada malam peringkat akhir Gadis Melayu 3, pengacaranya iaitu Ashraf Muslim, akan berganding dengan pengacara spontan dan bersahaja, Sharifah Shahirah.

Sebanyak 50 peratus markah adalah daripada penjurian awal di mana mereka telah diuji berdasarkan kepintaran, penampilan dan cara mereka berkomunikasi.

Pada malam peringkat akhir, 20 peratus adalah berdasarkan persembahan teater muzikal mereka dan 30 peratus dalam segmen Soal Jawab.

Juara Ikon GM3 akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, set Mutiara Rafflesia bernilai RM120,000, barangan Singer bernilai RM10,000, trofi serta jambangan bunga.

Empat penerima hadiah saguhati pula akan membawa pulang wang tunai RM1,000 seorang, barangan Singer dan jambangan bunga.

Empat orang peserta turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila akan membawa pulang wang tunai RM500 setiap seorang, barangan Singer dan jambangan bunga.

Tiga orang peserta turut telah dipilih sebagai pemenang hadiah sampingan dari penaja iaitu Gadis Hai-O yang dimenangi oleh Afiqah, Gadis Secret Garden yang dimenangi oleh Diana dan Gadis Silkygirl yang dimenangi oleh Zakiah.


sumber : www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates