All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, October 17, 2010

Gadis kena culik

Rozaliya Mat Lazim

SMS tunang diekori dua lelaki ketika beli-belah kelengkapan majlis kahwin

BANDAR CHENEH BARU: Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada 12 November ini dilaporkan hilang dipercayai diculik ketika membeli-belah di bandar Kuantan, Pahang, Rabu lalu.

Mangsa, Rozaliya Mat Lazim, 20, dikatakan keluar dari rumah keluarganya di bandar ini, bersama tunangnya untuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan mereka kira-kira jam 11 pagi.

Ibunya, Sabariah Mansor, 42, berkata pada hari itu anak gadisnya yang berpakaian blaus warna hitam dan seluar jeans gelap menaiki kereta tunangnya bernama Mohd Helmi Mohd Nor, 24, untuk ke bandar Kuantan.

Dia berkata, selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan, Helmi pulang ke pejabatnya di Bandar Baru Cheneh seketika kerana ada urusan penting untuk diselesaikan.

Sabariah berkata, Helmi memberitahunya dia meminta Rozaliya menunggunya di depan Pasar Raya Besar Mydin berhampiran lokasi mereka membeli-belah dan berjanji bertemu semula kira-kira jam 3 petang.

“Sebelum itu mereka berdua sering berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Helmi memberitahu Rozaliya ada menghantar dua SMS berbunyi ‘ada dua lelaki sedang mengekorinya’ dan ‘abang datang cepat, saya takut. Berdasarkan SMS ini, kami mengesyaki Rozaliya diculik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sabariah berkata, selepas itu Rozaliya terus tidak dapat dihubungi dan bakal menantunya berusaha mencari anaknya itu di beberapa kedai berhampiran termasuk pasar raya tempat mereka membeli-belah sehingga jam 6 petang, bagaimanapun gagal menemui Rozaliya.

“Helmi menghubungi kami memaklumkan kehilangan Rozaliya dan kami sekeluarga terus bergegas ke bandar Kuantan untuk mencari anak saya itu, tetapi sehingga jam 11 malam dia masih gagal ditemui,” katanya.

Sabariah berkata, setelah menemui jalan buntu, mereka mengambil keputusan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 12 tengah malam hari sama.

Sehubungan itu, Sabariah merayu orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Rozaliya berada supaya segera menghubunginya di talian 019-9418016 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Di KUANTAN: Pegawai penyiasat di IPD ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan Rozaliya dan meminta orang ramai yang mengetahui kejadian itu supaya menghubungi IPD di talian 09-5132222.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates