All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, October 17, 2010

Magika, Estet ungguli pencalonan

Dua filem jadi pilihan rangkul trofi paling banyak dalam FFM23

TIADA yang dapat digambarkan pelbagai perasaan lahir daripada calon akhir yang diiktiraf untuk dinobatkan sebagai yang terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).

Semua calon yang bertanding akan menghadapi persaingan sengit antara mereka. Kalah atau menang adalah lumrah. FFM23 adalah satu-satunya penganjuran yang mengangkat dan mengiktiraf anak seni oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi agensi di bawahnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Menjadi lima yang terbaik daripada puluhan calon sudah membuktikan keberkesanan hasil kerja keras mereka selama ini diiktiraf penonton dan orang di dalam industri perfileman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, soal kalah atau menang bukan ukuran yang menjadi ukuran mereka adalah yang terbaik tetapi pengiktirafan adalah sebagai galakan untuk lebih ke hadapan.

“Ini kali pertama tiga filem KRU Studios dalam senarai pencalonan FFM. Bukan itu saja, kami turut menerima pencalonan tertinggi menerusi filem Magika. Sebelum itu, saya hanya pernah katakan Magika adalah filem terbaik yang dikeluarkan oleh KRU Studios setakat ini.

“Ini satu pengiktirafan dan sumbangan kami terhadap industri perfileman. Sebelum ini pun kami banyak membuat perubahan menerusi CGI dan kelainan menerusi Cicakman, Duyong dan sebagainya tetapi kurang diberi perhatian dan tidak mendapat tempat di hati juri.
“Tapi kali ini, menerusi formula gabungan unsur komersil dan seninya, maka terhasillah filem Magika yang amat istimewa kepada kami, lebih lagi ia dekat dengan kami kerana ia menceritakan mengenai adik-beradik.

“Jika hendak ikutkan persaingan, kami menghadapi persaingan terutamanya filem Estet, Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur, Evolusi KL Drift 2 dan beberapa filem lagi. Bagi saya bonuslah jika menang kerana kami buat filem ini sebagai kepuasan dan apabila ia dapat pengiktirafan seperti ini ia memberi tambahan kepuasan,” katanya yang turut berbangga dengan hasil kerja kreatif Edry menghasilkan Magika.

Walaupun menerima pencalonan terbanyak, Norman sedikit kecewa apabila pelakon wanita utama filem Magika tidak tercalon.

“Saya sebenarnya agak terkilan apabila Diana Danielle tidak dicalonkan kerana dia melakonkan watak yang sungguh berkesan dan mempunyai peranan yang besar dalam Magika.

“Saya sebenarnya tidak mengharapkan pencalonan Jin Notti dan My Spy tetapi alhamdulillah ia tetap dapat pencalonan dan ia juga membanggakan saya sebagai penerbit.

“Selain itu, saya juga berpuas hati pada kategori busana yang mendapat tiga pencalonan dari KRU Studios. Itu menunjukkan nilai produksi kita memang memberi pengkhususan kepada busana kerana banyak filem kita menerapkan elemen fantasi, kita ada kekuatan pada busana,” katanya yang akur dengan mengklasifikasikan Magika sebagai kategori filem komedi.

Senarai lima calon bagi setiap kategori dalam FFM23 diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Dan Penjurian, Nancie Foo di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Khamis lalu. FFM23 yang secara keseluruhan menyediakan 24 kategori dan malam kemuncak festival akan diadakan di tempat yang sama pada 24 Oktober.

Terkilan muzik Estet tidak tercalon

Sementara itu, Mamat Khalid berkata, filem Estet yang menerima lapan pencalonan yakin untuk meraih salah satu kategori yang dipertandingkan.

“Terus terang saya yakin mampu meraih satu kategori daripada lapan yang tercalon. Tapi saya sebenarnya sedikit terkilan apabila muzik untuk filem Estet tidak ada dalam pencalonan. Penghasilan muzik Estet ini begitu diberi penelitian supaya elemen kenegaraan Malaysia itu kuat. Kita tidak buat muzik Tamil dari India. Bayangkan berapa banyak pita dan draf muzik kami buat untuk dimasukkan dalam filem itu.

“Apabila tidak terpilih, saya rasa rugi. Kalah atau menang, ia tetap sebagai galakan untuk pengarah bekerja kuat menghasilkan karya lebih baik. Apabila seseorang itu menang seperti pengalaman saya yang lalu, barulah kita rasa kerja kita dihargai,” katanya.

Menurutnya, semua pihak yang terbabit di dalam industri perfileman seharusnya menghargai penganjuran FFM ini.

“Daripada FFM pertama hingga ke empat saya tidak dijemput tetapi saya hadir untuk meraikannya. Kalau bukan orang industri sendiri yang menghargai FFM ini, ia tak guna diadakan,” katanya.

Pelakon baru, Putri Mardiana yang pertama kali tercalon di dalam FFM23 bagi dua kategori iaitu Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita berkata, setiap orang sememangnya mempunyai impian untuk menang.

“Apabila ditanya apa harapan saya, pastinya setiap orang mempunyai impian untuk menang. Begitu juga dengan saya. Bersyukur kerana filem pertama saya meninggalkan kesan mendalam buat terutama juri sehingga saya tercalon untuk kali pertama. Tapi saya menghadapi saingan kuat daripada Lisa Surihani dan Maya Karin,” katanya.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates