All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Wednesday, October 20, 2010

diana danielle tiada magika

PERASAAN terkilan tidak mampu disembunyikan bintang muda Diana Danielle, 19, apabila namanya langsung tiada dalam senarai Top 5 Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang bermula semalam dan berkemuncak pada Ahad ini.

Bagi anak tunggal yang dibesarkan ibunya, Norsiah ini, filem terbarunya, Magika dirasakan peluang terbaik untuk menerima pencalonan di majlis mengiktiraf hasil kerja karyawan seni tanah air selepas mula mendapat perhatian melalui filem Evolusi KL Drift.


Hatinya mula berbunga-bunga apabila pengarah Magika, Edry Abdul Halim dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim menghubunginya untuk memaklumkan mereka mencalonkan namanya bagi dua kategori penting FFM23.


Bagaimanapun, Diana hanya mampu menyimpan rasa terkilan apabila namanya tiada dalam senarai Top 5 yang diumumkan 14 Oktober lalu.

Norman sendiri mengakui terkilan apabila nama Diana Danielle tidak berada dalam Top 5 Pelakon Harapan Wanita Terbaik kerana lakonannya sungguh berkesan selain mempunyai peranan besar dalam Magika.

"Mungkin terkilan bukan perkataan sesuai untuk menggambarkan perasaan saya. Sebenarnya, saya harap dapat sama-sama memeriahkan FFM kali ini dengan pencalonan untuk Pelakon Harapan Wanita Terbaik.

"Saya rasa Magika peluang cerah untuk dicalonkan. Selepas membintangi beberapa filem, saya belum pernah dicalonkan dan berharap dicalonkan kali ini.

"Bagaimanapun, apa boleh buat kerana nama saya tidak sangkut satu pun pencalonan.

"Apapun, saya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang saya terima selama ini.

"Malah, saya bersyukur sangat diberi peluang menjayakan Magika kerana ia membuka banyak rezeki saya dalam lakonan selepas itu. Antaranya ... Dalam Botol dan baru saja selesai menjayakan filem Hanyut arahan pengarah terkenal, U-Wei Shaari.

"Saya juga menimba pengalaman baru bekerja dengan Edry. Walaupun ini karya pertamanya, kesungguhan Edry di lokasi cukup baik dan saya bangga dengan keberaniannya bereksperimentasi di layar perak," katanya.


Diana yang menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, Selangor mengakui kejayaan di FFM begitu penting kepada pelakon kerana ia dianggap sebagai bukti pencapaian seorang pelakon atas apa yang dilakukan.


"Sudah tentu setiap pelakon mengimpikan kejayaan atas usaha mereka dalam lakonan kerana ia dianggap sebagai kayu pengukur atas apa yang dilakukan. "Kalau pencapaian pelajar diukur dengan keputusan peperiksaan, pelakon pula melalui pengiktirafan ini.

"Apapun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus memperbaiki lakonan pada masa akan datang. Malah, saya akui banyak yang perlu diperbaiki lagi setiap kali menonton Magika.


"Saya menonton filem itu lapan kali termasuklah ketika suntingan (editing) dan memasukkan suara (dubbing) dan rasa lakonan saya tidak cukup baik dan banyak yang perlu diperbaiki.


"Melihat kelemahan itu, membuatkan saya ingin mengambil kelas berlakon. Mungkin tahun depan saya akan mengikuti kelas lakonan untuk memperbaiki lagi lakonannya.


"Mungkin bukan waktu terdekat ini kerana sibuk dengan pelajaran dan juga penggambaran, tetapi mungkin tahun depan," katanya berminat belajar dengan Fatimah Abu Bakar.


Apapun, impian Diana untuk memeriahkan FFM23 hanya melalui persembahan pada malam kemuncak di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Ahad ini.

Diana akan berganding dengan pasangannya dalam Magika, Mawi menyampaikan lagu dari filem itu, Penyembuh Rindu secara duet dan turut dipilih Rafflesia The Pearl Centre untuk menggayakan perhiasan mutiara ketika menjayakan FFM23 nanti.

Selain Diana dan Mawi, Magika turut dibintangi Ziana Zain, Ning Baizura, Maya Karin, Aznil Nawawi, Raja Azura, Datuk Jalaluddin Hassan, Ogy Ahmad Daud, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Adibah Noor, Saiful Apek, Senario, Vanidah Imran, Nabil Raja Lawak, Ruminah Sidek, Norman Hakim, Zaibo dan Marsha.


Filem ini juga mencatat kejayaan awal apabila menerima paling banyak pencalonan iaitu untuk 12 anugerah. Edry dicalonkan untuk Pengarah Harapan Terbaik, Ziana (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Fimie (Pelakon Kanak-kanak Terbaik). Pemenangnya diumumkan dalam majlis pembukaan FFM23, malam tadi.


Selepas Magika yang ditayangkan di pawagam 23 September lalu dan Kecoh Betul (3 Jun), Diana kini menanti tayangan filem ... Dalam Botol dan baru selesai menjalani penggambaran filem Hanyut. Gadis jelita kelahiran Houston, Amerika Syarikat pada 22 November 1991 ini juga tidak lepas dikaitkan dengan kisah cinta.

Sebelum ini, Diana bercinta dengan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Yusof dan kini dikatakan hangat bercinta dengan pelakon dan juga pengarah muda, Farid Kamil.


Walaupun tiada pengakuan daripada mereka, ramai yang tahu hubungan mesra yang terjalin. Malah, ada gosip mengatakan mereka bakal berkahwin pada awal tahun depan sebagaimana disiarkan Bintang Popular pada 3 Oktober lalu dengan tajuk Diana, Farid nikah Januari 2011? Mengulas perkara itu, Diana hanya tersenyum manja.

Katanya, cerita itu hanya gosip semata-amat kerana tidak mungkin dia akan berkahwin dalam waktu terdekat ini.


"Saya masih muda lagi dan banyak perkara yang hendak saya lakukan sebelum bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri," katanya.


Enggan bercerita lanjut mengenai hubungannya dengan Farid, Diana menafikan sengaja menyorok kisah cintanya itu. Katanya, dia memilih untuk low-profile dalam menjalin hubungan kali ini.


Apabila ditanya apakah yang membuatkan dirinya tertarik dengan Farid, Diana mengatakan hero filem Remp-it dan Lagenda Budak Setan itu sebagai lelaki yang baik.


Kata Diana, mereka tidak pernah dipertemukan dalam filem sebelum ini berbanding Syamsul yang sering digandingkan dengannya dalam drama siri dan juga filem.


"Saya tidak keberatan berlakon dengannya. Malah, ada beberapa tawaran untuk menggandingkan kami berdua, tetapi tidak dapat dipenuhi kerana terikat dengan jadual," katanya.


Sementara Farid, bukan saja dicalonkan untuk Pengarah Harapan Terbaik menerusi filem sulungnya, V3: Samseng Jalanan bersaing dengan Edry di FFM23, malah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Lagenda Budak Setan berentap dengan Syamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2).


>PROFIL
NAMA SEBENAR: Diana Danielle Danny Beeson
TARIKH LAHIR: 22 November 1991
TEMPAT LAHIR: Houston, Amerika Syarikat
KETURUNAN: Melayu-Amerika
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak tunggal
KERJAYA: Model, pelakon dan penyanyi
DRAMA/TELEFILEM: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah
FILEM: Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia, Setem, Kecoh Betul, Magika, ... Dalam Botol dan Hanyut
LAGU: Radio (bersama Imran Ajmain, Ahmad Nabil dan Infinatez), Penyembuh Rindu (duet bersama Mawi)


sumber : www.hmetro.com.my



0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates