All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Monday, February 7, 2011

Bila Anwar Ibrahim Menyanyi

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali menyumbangkan suara dalam sebuah lagu berjudul Teratak yang merupakan sebuah projek amal Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh dan kumpulannya, d*Crew.

Menurut Anwar, walaupun hanya memainkan peranan kecil dalam projek itu, beliau amat gembira kerana ia merupakan inisiatif untuk menarik minat golongan muda.

“Saya melakukannya sebab Gwo-Burne desak. Saya sangat tidak selesa tetapi cuba berlatih di kamar mandi. Memang saya gemarkan muzik seperti Elvis Presley dan sebagainya, tetapi ini serius.

“Apabila Gwo-Burne bawa saya ke studio, saya mendapati bahagian saya paling susah! Tetapi saya enjoy dan cuba menjiwai lirik sebaik mungkin. Ada sedikit perubahan dibuat agar lebih sesuai dengan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran album Teratak di Subang Jaya, Selasa lalu.

Album Teratak merupakan sebuah projek amal bagi mengumpulkan dana membantu meningkatkan prasarana di kawasan penempatan pengundi berpendapatan rendah.

Sementara itu, Gwo-Burne berkata, apabila pertama kali mendengar suara Anwar, dia hampir menitiskan air mata kerana terharu dengan nyanyian beliau yang bernada sayu.

Peminat cilik Datuk seri Anwar Ibrahim

Katanya, menulis lirik untuk Ketua Pembangkang itu adalah satu cabaran baginya terutama apabila Anwar mengakui lebih gemarkan lagu berentak rancak.

“Idea selalunya datang apabila saya berada dalam keadaan murung, suatu masa dahulu saya meluahkan emosi menerusi lagu. Sekarang, saya menggunakan ‘kelebihan’ itu untuk mendekati masyarakat dengan cara baru,” kata Gwo-Burne yang menyasarkan kutipan RM200,000 hingga RM300,000 untuk jualan amal Teratak.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu projek Teratak ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Pakatan Rakyat.

“Semua orang mengadakan majlis makan malam atau majlis amal dengan menjual meja untuk mengumpulkan dana. Ini dipanggil ‘politik baru’ tetapi sejak dahulu lagi sudah ramai orang buat, akhirnya saya jual meja pada dia, dia jual meja pada saya.

“Disebabkan saya masih baru (dalam politik) saya mahu cuba sesuatu yang lain untuk menjana lebih dana sumbangan kepada golongan miskin dalam kawasan Parlimen kami,” jelasnya yang menulis gubahan solo istimewa untuk Anwar.

Album mini tersebut merupakan cetusan idea beliau yang terbabit dalam hampir keseluruhan projek termasuk perancangan dan fotografi istimewa sebagai penghias album Teratak.

Manankala, adiknya, Gwo-Tynde Loh pula bertanggung jawab ke atas arahan seni termasuk rekaan penghias album, laman web dan bahan-bahan lain.

Empat lagu dimuatkan dalam album mini tersebut antaranya Teratak yang menampilkan The Wayfarers dengan lagu istimewa dari Anwar dan Elizabeth menerusi Feeling Fun selain Jia (Teratak dalam versi Mandarin) dan We Are All The Same.

Kesemua lagu diterbitkan oleh DJ Hope dengan lagu ditulis oleh Danny Tan, lirik oleh Faisal Mustafa, Ivone Tjuatja Dharma (Teratak) dan Gwo-Burne (Teratak dan Feeling Fun) serta disusun oleh James & Co.

Cakera padat edisi terhad Teratak tidak dijual, sebaliknya merupakan ‘cenderahati’ percuma apabila anda menyumbang minimum RM25 kepada dana kebajikan anjuran pejabat Ahli Parlimen Kelana Jaya.

Untuk maklumat lanjut mengenai cakera padat terhad Teratak, layari www.kelanajayamp.com atau www.uni-tee.org untuk memuat turun trek pilihan anda.

sumber : www.mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates