All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, December 19, 2010

Sedetik Lebih, promosi awal Hikayat Merong Mahawangsa

SUDAH tentu ramai di kalangan peminat filem tempatan sudah menonton promo video filem Hikayat Merong Mahawangsa di laman Youtube. Menontonnya buat pertama kali, pasti ramai menyangka filem tersebut dihasilkan oleh produksi dari luar negara.

Itulah kehebatan yang dapat disaksikan melalui filem terbaru keluaran KRU Studios yang akan menjengah pawagam pada 10 Mac 2011 akan datang. Sebuah filem epik yang sangat dinantikan dan diuar-uarkan sebagai sebuah filem terhebat yang pernah dihasilkan oleh anak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, setakat ini filem Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem terhebat yang pernah dihasilkan dan pihaknya yakin para peminat akan memberi sambutan cukup hangat.

“Sebelum ini saya memang ada perancangan untuk menerbitkan sebuah filem epik. Kemudian filem ini terhasil setelah saya membaca sendiri buku Hikayat Merong Mahawangsa dan kemudian terus tertarik untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan buku tersebut.

“Ia bukan sahaja sebuah filem aksi, malah turut dimuatkan dengan elemen-elemen percintaan. Selain jalan ceritanya yang menarik, kehebatan filem ini juga turut dibantu dengan teknik imej penjanaan komputer (CGI),” ujarnya.

Menurut Norman, pihaknya juga sangat gembira kerana sasaran mereka untuk memasarkan filem ini sekurang-kurangnya di 60 buah negara telah tercapai dan rata-rata melahirkan rasa kagum terhadap filem berkenaan.

Ujarnya, apa yang lebih membanggakan ketika dia cuba memasarkannya di luar negara, filem tersebut dianggap menelan belanja sehingga puluhan juta ringgit, sedangkan kos sebenarnya adalah RM8 juta sahaja.

Sementara itu, Norman menjelaskan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membawa filem Hikayat Merong Mahawangsa ke festival-festival filem yang sesuai untuk dipertandingkan.

Bagaimanapun, ujarnya lagi soal menang atau kalah tidak menjadi keutamaan bagi dirinya kerana apa yang lebih penting adalah untuk membuktikan kepada pihak luar bahawa Malaysia juga mampu menghasilkan sebuah filem bertaraf antarabangsa.

“Sebagai seorang ahli perniagaan, sudah tentu saya lebih mengutamakan keuntungan tetapi melalui produk yang berkualiti kerana ia adalah suatu kepuasan bagi saya. Kalau menang anugerah, itu merupakan satu bonus,” ujarnya.

Sedetik Lebih

Biarpun hanya akan ditayangkan lebih kurang tiga bulan akan datang, namun KRU Studios telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan lagu tema untuk filem berkenaan yang berjudul Sedetik Lebih.

Menurut Norman, pengenalan lagu tema tersebut merupakan salah satu cara mereka untuk mempromosikan filem berkenaan sebelum ditayangkan di pawagam.

“Pihak kami turut memperkenalkan lagu tema terlebih dahulu dan disertakan klip video kepada umum. Cara yang sama dilakukan untuk filem-filem terbitan KRU Studio yang lain, antaranya Cicak Man, Jin Notti dan Magika.

“Lagu Sedetik Lebih ini pula diciptakan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim dan ia dihasilkan dengan sususan melodi yang cukup indah serta lirik lagu yang mempunyai maksud tersendiri,” ujarnya.

Menurut Norman lagi, apa yang lebih menarik mengenai lagu berkenaan juga apabila muziknya telah dimainkan oleh orkestra Dewan Filharmonik Petronas.

Ketika ditanya kenapa Anuar Zain menjadi pilihan pihaknya untuk menyanyikan lagu tersebut, Norman menjelaskan penyanyi berkenaan dilihat memiliki karisma serta vokal yang cukup mantap.

Ujarnya, dia yakin penyanyi yang kini sudah menjangkau usia 40-an itu mampu membawakan lagu Sedetik Lebih dengan baik, di samping turut berpuas hati kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan penyanyi tersebut.

Sementara itu, mengenai proses pembikinan klip video lagu itu pula, Norman memberitahu, ia mula dihasilkan pada bulan Oktober yang lalu dengan kos sebanyak RM 30,000.

“Hanya sehari tempoh yang diambil untuk menghasilkannya dan kami amat berterima kasih kepada Dewan Filharmonik Petronas kerana sudi untuk menaja lokasi penggambaran klip video ini,” ujarnya.

Satu penghormatan

Memandangkan sebelum ini Anuar Zain sendiri belum pernah menjalinkan sebarang kerjasama dengan pihak KRU Studios, dia menganggap pemilihannya itu untuk menyanyikan lagu Sedetik Lebih sebagai satu penghormatan yang cukup besar.

Menurut Anuar, antara sebab dia menerima tawaran KRU Studios kerana tertarik dengan melodi dan lirik lagu berkenaan dan merasai suatu kelainan ketika menghayatinya.

“Ketika pertama kali mendengarnya, saya terus tertarik dengan lagu ini dan yang lebih menggembirakan lagi apabila saya diberitahu ia akan dijadikan lagu tema untuk filem terbitan mereka.

“Setelah mencapai persetujuan, saya mula merakamkan lagu ini pada bulan Jun yang lalu. Manakala pembikinan klip video pula dilakukan dua bulan yang lalu," ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran lagu Sedetik Lebih baru-baru ini.

Menurut Anuar, dia sendiri tidak menafikan terdapat juga beberapa cabaran yang terpaksa dilalui sewaktu merakamkan lagu berkenaan memandangkan ia dirakamkan dengan dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada Edry sendiri sepanjang merakamkan lagu tersebut. Malah, dia juga turut berpuas hati dengan hasil pembikinan klip video yang diarahkan oleh Yusry.

Mengenai pandangannya tentang filem berkenaan pula, Anuar meluahkan rasa kagumnya dan tidak menyangka bahawa ada anak tempatan yang mampu untuk menghasilkan sebuah filem epik yang cukup hebat.

“Pada saya filem Hikayat Merong Mahawangsa ini adalah antara filem yang terbaik yang pernah dihasilkan dan secara jujurnya saya merasakan ia setanding dengan filem-filem epik luar negara,” ujarnya.

sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates