All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, December 19, 2010

Maya pengacara yang bagus - Vee

TAHUN 2011 menyaksikan perubahan besar dalam pasukan program wanita popular di Malaysia, Nona, apabila ia tidak lagi diterajui oleh pengacara dan pelakon jelita, Maya Karin sebaliknya ia digantikan dengan seorang lagi pelakon terkenal, Vanidah Imran atau Vee.

Pilihan pasukan Nona itu menunjukkan, Vee dilihat mampu menarik kembali penonton kerana dia dipilih daripada beberapa calon yang mempunyai kelayakan sama sepertinya.

Namun, bagi Vee ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai pengacara Nona di Cruise Tasik Putrajaya baru-baru ini, tugas yang berat menantinya.

“Besar tanggungjawab yang diberi kepada saya. Bagi saya kejayaan Nona bukannya datang daripada seorang individu sahaja sebaliknya atas kerjasama semua pihak.

“Soal siapa ganti siapa itu, saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana saya juga pernah lihat Maya mengacara Nona, dia seorang pengacara yang bagus. Saya pula orang baru dalam Nona, harap semua orang memberikan sokongan,” ujarnya.

Disoal tentang tahap keyakinannya untuk menaikkan rating program Nona, dalam senyuman, Vee tidak dapat menyembunyikan kegusarannya.

“Saya sebenarnya sangat gementar dan teruja apabila dipilih jadi pengacara Nona kerana ramai orang di luar sana dibesarkan dengan Nona.

“Saya bimbang juga tidak mencapai piawaian yang penonton harapkan tetapi dengan tunjuk ajar penerbit dan krew produksi Nona, saya sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik,” tuturnya yang telah menjalani rakaman lima episod Nona untuk tayangan Januari depan.

Jelas Vee lagi, dia seorang yang terbuka dengan kritikan, malah dia mengalu-alukan pendapat penonton terhadap prestasinya dalam Nona apabila ditayangkan bermula 2 Januari depan.

“Saya tidak kisah kalau orang cakap gaya pertuturan saya tidak bagus atau apa-apa kritikan. Sebab bagi saya dengan kritikan saya akan menjadi seorang pengacara yang lebih baik.

“Jadi kepada penonton, jangan malu atau segan untuk mengkritik saya. Sekarang ini sudah ada banyak ruang untuk mereka berikan kritikan atau komen selain e-mel, saya juga miliki akaun di laman sosial Facebook,” katanya.

Ramai yang tidak tahu, isteri kepada aktor Rashidi Ishak itu sangat mengagumi Datin Normala Shamsuddin dan pernah berlakon dalam iklan Fair & Lovely sebagai kakak dan adik ketika Vee berusia 18 tahun.

Dia tidak menyangka, selepas 20 tahun, dia pula menjadi seperti idolanya, terlibat dalam program Nona, satu perkara yang diimpikan selama ini.

“Saya memang tidak sangka akan menjadi pengacara Nona seperti Normala, ia bagai mimpi jadi kenyataan kerana saya memang membesar bersama program Nona,” balasnya.

Nama Vee hari ini, satu nama yang cukup besar dalam dunia lakonan, penglibatannya dalam Nona secara tidak langsung akan menjejaskan peluangnya untuk terus berlakon memandangkan jadual waktunya yang agak ketat.

Bagaimanapun, kata Vee, tahun 2011 memang disasarkan untuknya mengurangkan aktiviti lakonan dan menumpukan perhatiannya kepada keluarga dan pelajaran yang sedang disambung di Universiti Terbuka Malaysia.

“Mula-mula saya dapat panggilan pada bulan Oktober, masa itu rasa macam tidak percaya, saya tanya suami, boleh atau tidak saya jadi pengacara Nona? Dia beri galakan dan sokongan, itu yang menyebabkan saya terima tawaran ini.

“Lagi pun, tawaran itu datang tepat pada masanya sebab saya ingin memperlahan kerjaya lakonan pada tahun depan untuk beri tumpuan pada pelajaran dan keluarga serta inginkan satu perubahan dalam kerjaya saya. Jadi pengacara Nona, saya seperti sudah ada kerja yang tetap dan jadual boleh dirancang untuk disesuaikan dengan waktu kuliah.

“Sebelum dipilih jadi pengacara Nona pun saya telah perlahankan kerjaya lakonan, drama bersiri terakhir saya adalah Isabella bersama Rosyam Nor,” ucap ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.

Meskipun begitu, tidak bermakna Vee akan hilang terus daripada radar dunia seni, terangnya, dia masih akan terlibat dalam lakonan cuma jadual waktunya tidak boleh padat seperti dahulu.

“Saya masih berlakon cuma tidak akan ambil drama bersiri yang panjang. Kalau telemovie atau filem itu masih boleh lagi kerana penggambarannya tidak akan mengambil masa yang lama. Saya seorang pelakon, tidak mungkin saya tinggalkan dunia lakonan,” ujarnya.

Vee mahu jadi guru

Selepas 17 tahun bergelumang dengan dunia lakonan, wanita berusia 36 tahun ini sudah mula melihat masa depannya bukan sebagai seorang pelakon sebaliknya sebagai seorang guru.

Beritahu Vee, dia mengetahui yang dia mempunyai minat mengajar apabila dia menjadi guru kursus lakonan untuk Kelab Pencinta Filem Sekolah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini.

“Kursus selama tiga hari yang melibatkan 150 orang pelajar sekolah itu amat menyeronokkan saya kerana saya dapat lihat hasil didikan saya dalam masa yang singkat.

“Cuma kekurangan saya adalah aspek teori kerana selama ini saya hanyalah pelakon, kalau ingin mengajar secara praktikal itu bolehlah. Sebab itu saya sambung belajar supaya selepas ini tiada orang akan mempersoalkan tahap pendidikan saya kerana saya memang ke arah untuk menjadi seorang pendidik,” katanya.

Bicaranya yang akan menggenggam segulung ijazah dalam tempoh tiga tahun lagi, dia berkeinginan untuk menjadi guru dalam bidangnya iaitu lakonan.

“Lihatlah macam mana, sekarang saya baru berada dalam semester tiga, memang agak sukar melakukan semua perkara dalam masa yang sama tetapi saya harus lakukan sesuatu untuk masa depan kerana dulu waktu saya mula berlakon saya sepatutnya sambung pelajaran tetapi saya abaikan kerana lakonan.

“Saya ingin nasihatkan kepada semua pelakon baru, habiskan pelajaran, baru masuk ke dunia lakonan kerana dunia lakonan akan sentiasa ada, jadi tidak perlu tergesa-gesa sehingga mengabaikan pelajaran,” tutur Vee lagi.

sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates