All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Saturday, December 25, 2010

Lancar & Gelak Tawa Serikan ASK2010

KUALA LUMPUR: Tidak keterlaluan jika dikatakan Anugerah Skrin (ASK) 2010 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Jumaat lalu mencetuskan rasa yang seimbang antara berpuas hati dan tidak.

Yang lepas biarkan berlalu, namun setiap detik yang berlaku sepanjang menyaksikan anugerah berprestij ini secara langsung dirakam penuh bermakna.

Sebelum itu, tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang memenangi 24 kategoriASK2010 termasuk kejayaan besar yang diraih oleh drama Antara Garisan dan filemMuallaf.

Drama Antara Garisan merangkul empat anugerah manakala Muallaf memenangi tiga anugerah.

Fauzi Nawawi memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi drama Sebelum Akhirat.

Kebanyakan penonton dalam Dewan Merdeka bagaikan bersetuju dengan kemenangan yang diraih lebih-lebih lagi ia bagaikan menepati ramalan awal.

Jadi tiada pertikaian tentang pemenang yang berlaku jika dibandingkan dengan Festival Filem Malaysia ke 23 (FFM23) lalu.

Berbalik kepada penganjuran ASK2010 kali ini, ramai yang tertanya-tanya sama ada berjayakah acara yang dihoskan oleh Vanidah Imran dan Awal Ashaari itu?

Komen-komen yang diberikan bagaikan kurang berpuas hati dengan kualiti yang dipersembahkan pengacara itu. Namun sudah menjadi lumrah, setiap majlis yang diadakan pasti ada kekurangannya.

Bagaimanapun, penulis mahu memuji kelancaran majlis yang tiada meleret-leret dan tidak membosankan.

Shahrul Ezad Mohamedin memenangi empat anugerah untuk drama arahannya, Antara Garisan.

Biarpun meyakinkan, Vanidah agak sedikit kaku apabila terlalu terikat dengan skrip. Namun, perkara itu boleh dimaafkan kerana ia merupakan percubaan pertama Vanidah mengendalikan ASK.

Kritikan juga yang harus diberikan kepada artis yang diberi kepercayaan mengumumkan pemenang yang dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh ketika menyebut nama pemenang.

Mungkin kerana terganggu dengan kad nama pemenang yang agak sukar dibuka sebelum pengumuman dilakukan.

Lupakan sebentar kekurangan yang berlaku, kerana ada perkara yang lebih menarik mahu dikongsikan.

Ramai penonton terhibur dengan seloka pelakon veteran Datuk Aziz Sattar ketika menyampaikan tiga anugerah bersama-sama aktres Erra Fazira dan Siti Shahriza (Eja).

Shaheizy Sam memenangi Anugerah Yasmin Ahmad.

Setiap perkataan yang dikeluarkan daripada mulutnya mencetuskan gelak tawa kepada penonton lebih-lebih lagi ketika dia bergurau setelah melihat wanita berpakaian terdedah menerima anugerah di depannya.

Selain itu, persembahan muzik seperti alunan seksofon oleh Datuk Ahmad Nawab, gesekan biola oleh Genervie Kam dan petikan gitar oleh Hillary Ang menerusi lagu tema filem Nur Kasih, Isabella dan Sabar Menanti.

Turut menyentuh perasaan apabila menonton persembahan nyanyian Noryn Aziz, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Anuar Zain, Ziana Zain dan kumpulan pelakon teater Muzikal Cinta.

Sekitar ASK2010:

- Penampilan gaun malam menampakkan lurah dada walaupun ditutup dengan kain renda jarang dan rambut pendek warna perang oleh pelakon Jue Aziz kelihatan agak pelik.

Jue Aziz.

- Ramai penonton yang bersorak apabila melihat penerima anugerah yang berpakaian terdedah dan seksi terutama semasa Sharifah Amani berjalan ke pentas untuk menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem Muallaf dan penerima anugerah bagi kategori Videografi Terbaik menerusi telefilem Datang Bulan.

- Gelagat peminat Ziana Zain yang menggelarkan dirinya Ziana Zain nombor dua membuatkan suasana dewan menjadi gamat ketika siaran langsung berhenti rehat seketika. Lebih riuh apabila pelawak Zizan (Raja Lawak) melayan peminat itu dan memintanya menyanyikan beberapa buah lagu Ziana.

- Pengarah filem Evolusi KL Drift 2, Shamsul Yusof agak kekok untuk mengambil anugerah Lakon Layar Terbaik Filem yang dimenanginya setelah melihat bekas kekasihnya, Diana Danielle yang menyampaikan anugerah tersebut.

- Pelawak Zizan merupakan artis pertama yang sampai di sesi fotografi karpet merah.

- Penyanyi Sasha Saidin diumumkan sebagai pemenang tempat kedua dalam pertandingan anjuran Pantene.

- Pelakon remaja Syafie Naswip tampil dengan imej fantasi beserta mata tertutup sebelah.

- Aktres Siti Shahriza (Eja) menggayakan gaun labuh rekaan Wanpa yang menyerlahkan kecantikannya dan jika ada pertandingan pakaian terbaik, pasti dia yang menjadi pilihan.

- Celoteh pelakon kanak-kanak, Mia Sara yang hadir bersama-sama aktres Lisa Suriani dengan pakaian warna merah sedondon turut mencuri perhatian penonton.

sumber : www.mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates