All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Monday, October 4, 2010

Usah babit Watie

KUALA LUMPUR: “Talak sudah jatuh. Saya sudah melafazkan cerai di depannya dan saksi, cuma sedang menanti tarikh memfailkannya ke mahkamah. Hentikanlah spekulasi dan usah babitkan Watie dalam masalah ini kerana dia tiada kena-mengena langsung,” kata penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey), 37, menjawab semula dakwaan bekas isterinya, Noraini Nasir, 44.

Harian Metro semalam memaparkan kenyataan Noraini kononnya Joey lupa tanggungjawabnya terhadap anak tunggal mereka yang berusia empat tahun, Zidani Zulkifli dan tidak menghormatinya kerana mengaku sudah bercerai sedangkan tiada hitam putih serta keputusan mahkamah untuk mengesahkan perkara tersebut. Malah, nama dramatis terkenal, Norwati Sadali (Watie), 34, turut dikaitkan kerana dikatakan punca pergolakan rumah tangga mereka.


Noraini yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang juga vokalis kumpulan Exists itu pada 4 Mei 2005 turut menyifatkan Joey tidak pernah takut bermain dengan sumpah kerana menafikan tindakannya yang pernah merujuk selepas tiga hari menceraikannya di ruang meletak kereta. Bagaimanapun Joey yang popular menerusi drama bersiri Blues Pasar Tani, Ejen 2x5 dan filem Crayon itu ketika dihubungi menegaskan kemelut rumah tangganya ini memberikan tekanan kepadanya serta mengundang persepsi negatif masyarakat semata-mata.


“Jujurnya saya tertekan kerana kenyataan dia (Noraini) seperti meludah ke langit. Lambat-laun, ia akan memakan diri sendiri. Saya melihat tiada gunanya kita mengaibkan mana-mana pihak kerana tindakan itu tiada penghujung dan penyelesaian sebaliknya hanya memberi ruang untuk orang sekeliling menepuk tangan. Kenyataan itu bukan saja memalukan pihak saya dan dia, malah tidak semena-mena nama Watie pula dikaitkan sedangkan punca itu tidak pernah wujud sejak awal lagi.


“Kenyataannya lebih bersifat peribadi dan tidak mampu menerima kenyataan sebenar. Hakikatnya talak itu sudah jatuh di depannya sendiri. Saya bukan jahil soal agama dan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah. Itu adalah sewajarnya dan sebagai lelaki, saya perlu bertanggungjawab atas keputusan saya sendiri.


“Apabila emosi sudah menguasai diri lengkap dengan perasaan marah, semua cerita boleh keluar. Apa yang menyedihkan dan sangat memalukan, tindakan itu ibarat membuka pekung di dada sendiri. Mungkin apa yang tersirat di sebalik semua fakta yang diberi hanyalah perasaan seseorang yang tidak mampu menerima hakikat perpisahan,” katanya.


Joey bagaimanapun menegaskan berkali-kali agar nama Watie tidak terus terheret dalam masalah ini.


“Usah mudah menuding jari dan mencari punca dengan mengaitkan nama Watie dalam masalah ini. Perceraian ini tidak langsung disebabkan soal orang ketiga sebaliknya antara kami sudah tiada persefahaman lagi. “Saya kecewa dan tertekan kerana nama Watie pula dibabitkan. Hubungan kami memang baik dan keluarga kedua-dua pihak juga merestuinya. Saya tidak mahu masalah rumah tangga saya memberikan tekanan kepada orang lain. “Saya mengaku ada membawa Watie bertemu keluarga pada Aidilfitri yang lalu dan alhamdulillah mereka juga menerima Watie dengan baik. Jika ada jodoh dan keizinan, saya tidak mampu menolaknya namun apa yang penting, kami berdua mendoakan sesuatu yang baik,” katanya.

sumber : www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates