All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Tuesday, October 5, 2010

Reputasi Darling tercalar

SELEPAS dua tahun turun naik mahkamah dan akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuka akaun di Bank RHB Berhad pada 29 September lalu, aktres yang juga penerbit Nasreen Ngasri atau Darling kini mampu bernafas lega.

Segala bebanan yang ditanggung selama ini sudah terlepas daripada bahunya kerana kes tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Meskipun mengaku bersalah atas dakwaan tersebut dan terpaksa membayar denda sebanyak RM15,000 serta RM150,000 kepada pengadu Mohamad Ridzwan Mat Hussin yang juga bekas rakan kongsinya dalam syarikat Nazridz Pictures sebagai jalan penyelesaian, Darling terpaksa akur.

Katanya, wang boleh dicari tetapi tidak sebuah kehidupan yang bebas dan bahagia bersama keluarga.

“Saya mengaku bersalah kerana saya memandang masa depan dan tidak mahu kes ini menghantui hidup saya dalam tempoh yang lama.

“Walaupun reputasi saya tercalar dek kes ini, saya anggap ini sebagai pengorbanan untuk saya meniti kejayaan,” ujarnya yang ditemui ketika sesi fotografi baru-baru ini.


MENGAMBIL iktibar daripada apa yang dilaluinya, Darling kini lebih berhati-hati.


Sedar pandangan sinis serta impak yang bakal diterima dek pengakuan bersalahnya itu, Darling terima dan reda akan masa depan yang menantinya.

“Semua perbuatan dan kenyataan datangnya daripada saya sendiri, baik atau pun buruk. Sebagai manusia saya tidak boleh menyesal dengan apa yang berlaku sebaliknya mengambil iktibar dan belajar untuk menjadi insan yang lebih baik daripada apa yang berlaku,” tuturnya.

Hargai Kehidupan

Tanpa berselindung, Darling memberitahu pengalaman turun naik mahkamah merupakan episod hitam yang memberinya tekanan tetapi mujur setiap langkahnya tidak dilalui seorang diri sebaliknya keluarga serta suami sentiasa berada di sisi.

“Rasanya semua orang yang ada kes di mahkamah berada di dalam tertekan dan bercelaru. Begitu juga dengan saya, itu kes pertama dan terakhir saya. Selepas ini kalau boleh saya tidak mahu jejak lagi mahkamah.

“Saya juga bersyukur kerana sepanjang saya melalui kes ini keluarga dan suami tidak pernah meninggalkan saya seorang diri. Mereka sentiasa ada apabila saya dalam kesusahan,” jelasnya.


BERIKRAR enggan lagi menjejakkan kaki ke mahkamah di masa akan datang.


Tambahnya lagi, terdapat banyak hikmah sebalik kes tersebut yang membuka matanya untuk menjadi insan, anak dan isteri yang lebih baik.

“Saya lebih tenang selepas segalanya berakhir dan saya sedar bahawa hubungan kekeluargaan kami semakin rapat. Suami saya juga sentiasa menyokong saya. Setiap langkah yang diambil semuanya melalui perbincangan bersamanya dan keluarga.

“Selepas apa yang berlaku saya dapat bezakan antara teman yang benar-benar menyokong dan teman-teman yang hanya hadir ketika waktu gembira sahaja,” ulasnya.

Usianya kini menjangkau angka 27 tahun, sebagai insan seni yang membesar dalam dunia yang penuh glamor dan menghadapi pelbagai kontroversi, Darling lebih matang daripada wanita seusianya.




Tidak mahu menoleh ke belakang dan menangisi sejarah silam yang menjatuhkan semangatnya, Darling kini bangkit sebagai wanita yang lebih berani.

“Saya akui ada perbezaan dalam diri saya. Saya bukan lagi Darling yang dulu kerana sekarang saya lebih berhati-hati dalam setiap langkah yang saya ambil.

“Saya juga lebih hargai kehidupan dan orang sekeliling yang sentiasa menyayangi saya seadanya,” tuturnya.


sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates