All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Thursday, September 2, 2010

Siti bahagia hidup berkeluarga, berjaya dalam perniagaan, kerjaya



SENYUMAN manis tidak lekang dari bibirnya. Sesekali figura bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu kelihatan melirik manja ke arah suaminya yang sibuk melayani tetamu. Aura bahagia pasangan romantis yang menyambut ulang tahun keempat mereka pada 21 Ogos lalu seakan dapat dirasai di segenap dewan.

Biar acara keraian terlewat beberapa hari, ia tetap menyuntik makna tersendiri buat Siti dan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa apabila saban tahun saat indah yang dilalui dapat disambut bersama insan tersayang, termasuk keluarga serta teman akrab mereka.

Seperti diluah empunya badan, tiada apa lagi yang dihajati melainkan kurniaan rahmat kebahagiaan berpanjangan dalam kehidupan mereka suami isteri, apatah lagi sepanjang empat tahun melayari rumah tangga, badai dan gelombang sentiasa datang silih berganti.

Akui Siti lagi, tahun pertama disatukan menjadi ruang mereka lebih mengenali diri masing-masing manakala tahun berikutnya perjalanan hidup lebih lancar tetapi tahun ketiga menjengah pula gosip liar dan tahun keempat, semuanya kembali lancar bagi merencana kehidupan bersama untuk seterusnya.

“Pokok pangkalnya adalah kepercayaan, keikhlasan, saling memahami serta lebih bertolak ansur yang membolehkan segala dugaan ditempuhi dengan penuh ketabahan apatah lagi perjalanan kami masih jauh dan pastinya banyak lagi dugaan menanti.

“Usia perkahwinan kami kini genap empat tahun. Siti bersyukur suami menjaga Siti dengan baik malah menjadi pembimbing dalam segala hal dan dia umpama sifu yang banyak mengajar selok-belok perniagaan - bidang yang masih baru bagi Siti,” katanya yang ditemui selepas sambutan ulang tahun itu.
Antara yang meraikan pasangan itu termasuk ibu dan mentuanya, Siti Salmah Bachik dan Siti Zainab Hanafi selain adik-beradiknya, Saiful Bahari, Siti Saida dan Siti Sairah, anak bongsu Datuk Khalid, Muhammad Aazief dan tidak ketinggalan kakaknya, Datin Zaiton Muhd Jiwa.

Diusik mengenai hadiah istimewa, katanya cukup dengan jambangan bunga memandangkan ulang tahun perkahwinan mereka jatuh pada bulan puasa semetalah suami sudah membawanya makan angin di London sebelum menunaikan umrah, baru-baru ini.

“Kami meraikan dulu ulang tahun keempat ini dengan bercuti dan menunaikan umrah. Siti bersyukur dan berharap masih diberi kesempatan untuk meraikan kegembiraan ini bersama hingga akhir hayat,” katanya.

Selain meraikan genap empat tahun perkahwinan, majlis istimewa itu juga diadakan serentak dengan pelancaran koleksi edisi terhad SimplySiti yang dikeluarkan khas sempena Syawal, Gold Edition dan mempunyai tandatangan bintang tersohor itu.

Katanya, tidak disangka barangan solek yang diperkenalkan April lalu mendapat sambutan hingga kehabisan stok hanya dalam tempoh sebulan sedangkan dalam jangkaan awal bekalan sedia ada di pasaran hanya dapat dihabiskan kira-kira empat bulan.

Cerita penyanyi lagu Sesuci Lebaran itu, pihaknya sendiri ‘terbang’ ke Korea untuk membawa pulang produk terbaru mereka kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sekali gus mengecewakan peminat yang ingin mendapatkannya dalam kadar segera.

Semakin bersinar matanya sebaik cerita beralih kepada dunia niaga membuktikan minat terhadap bidang kecantikan yang direstui suami selain mendapat bimbingan jurusolek peribadinya, Nurol Syukor selaku penasihat, bukan calang-calang impian kerana selepas ini empayar perniagaannya akan dikembangkan hingga ke negara jiran.

“Siti mahu melebarkan bisnes ini malah berhasrat membuka pusat sehenti yang memudahkan pelanggan mendapatkan produk penjagaan diri dari hujung rambut hingga hujung kaki dan kesihatan di bawah satu bumbung apatah lagi SimplySiti bakal tampil bersama losyen dengan kerjasama syarikat dari United Kingdom (UK),” katanya.

Tiada masalah untuk hamil

PERANCANGAN serta kerja berganda pastinya membuatkan Siti tidak menang tangan memastikan segala urusan berjalan lancar malah dia sendiri mengorbankan sebahagian waktu percutian pada Julai lalu melawat kilang dan bertemu rakan perniagaan di luar negara.

Dedah Siti lagi, doktor turut menasihatkannya lebih banyak berehat sebagai persediaan menambah ahli keluarga kerana dirinya disahkan tiada masalah untuk hamil, cuma perlu mengurangkan kesibukan supaya tiada lagi tekanan besar.

“Kesibukan Siti memang berganda, susah nak kata cuti sebab dalam bercuti Siti masih perlu menyelesaikan tugasan kerana bisnes ini masih baru. Menimang cahaya mata memang antara perancangan masa depan malah kami sudah berusaha termasuk menemui doktor.

“Sebagai insan kerdil, Siti hanya bertawakal dan berserah kepadaNya. Mungkin ada rahmat di sebalik ujian ini kerana Dia lebih mengetahui. Kalau awal banyak perkara belum selesai dan pastinya sukar untuk Siti membahagikan masa. Namun apabila masanya tiba nanti, jika perlu korbankan kerjaya, Siti rela,” ucapnya penuh bermakna.

Menyentuh soal persediaan raya, segala-galanya sudah disiapkan kerana dia bersama suami sekali lagi diundang menjadi tetamu Allah di Makkah dan hanya akan pulang sehari sebelum raya malah biskut yang pasti ada seperti makmur, seroja dan tart menjadi pilihan utama di atas meja menyambut tetamu nanti.

“Sekembali ke Kuala Lumpur, kami akan pulang ke kampung halaman Datuk Khalid di Kedah. Kalau boleh kami ingin membawa emak bersama kerana tidak mahu dia kesunyian. Hanya selepas beberapa Syawal pulang ke Kuala Lipis emak mahu menghadiri kenduri keluarga terdekat di Kelantan,” kata Siti menempah tiga pasang baju untuk hari raya kali ini.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates