All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Thursday, September 30, 2010

Pencarian Famili Sarjana di Astro esok

BERKONGSI kebimbangan terhadap masalah sosial yang sering melanda institusi kekeluargaan Islam, Astro sentiasa berusaha menawarkan program berunsur kerohanian sebagai asas membina kekuatan dan jati diri keluarga Muslim.

Sehubungan dengan itu, menerusi Astro Oasis, sebuah lagi program baru berkonsepkan kuiz kekeluargaan Islam berjudul Famili Sarjana akan diterbitkan.

Famili Sarjana adalah rancangan kuiz yang menyaksikan dua keluarga akan bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat.

Satu keluarga akan dinobatkan sebagai juara di peringkat akhir dan sebagai pendorong, hadiah utama berbentuk pakej umrah disediakan untuk sekeluarga.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata pihaknya sentiasa akur dengan permintaan pelanggan yang mahukan pengisian rohani di televisyen.

Perkembangan positif masyarakat terhadap penerimaan program berbentuk keislaman di televisyen semakin menular.

Ini menunjukkan mereka dahagakan ilmu pengetahuan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan. Lebih membanggakan, permintaan untuk program keislaman semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Program Famili Sarjana adalah rancangan kuiz kekeluargaan terbaru yang membawa pendekatan berlainan berbanding program kuiz sedia ada.

Program ini membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam. Secara tidak langsung, penonton di rumah turut memperoleh ilmu daripada soalan yang dilontarkan, katanya.

Izelan berkata, kejayaan program realiti terunggul Imam Muda dengan liputan meluas media tempatan dan antarabangsa kini meletakkan Astro Oasis pada kedudukan yang tersendiri.

Maka, tanggungjawab kami juga semakin bertambah untuk memastikan setiap program di saluran ini berada atau lebih daripada paras itu. Bagaimanapun, tanggungjawab lebih utama adalah mendidik keluarga dan masyarakat menerusi program yang berkualiti.

Setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir. Dua keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum sebuah keluarga dinobatkan sebagai juara Famili Sarjana.

Kami menawarkan penajaan penuh pakej umrah kepada Juara Famili Sarjana sebagai pendorong kepada setiap keluarga untuk bersungguh-sungguh dalam program ini.

Namun yang lebih penting, peserta dan penonton dapat berkongsi ilmu dan mendalami setiap perkara yang terkandung dalam Rukun Islam. Dengan mendalami ilmu dan mengamalkannya, kita mampu membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang bertamadun yang selari dengan syariat Islam, katanya.

Semua keluarga Islam yang berminat untuk menyertai program Famili Sarjana yang buat kali pertama diperkenalkan di Astro Oasis dijemput hadir ke sesi uji bakat di Astro, Bukit Jalil pada 2 dan 3 Oktober ini.

Setiap keluarga perlu dianggotai lima ahli keluarga dan memenuhi kriteria seperti lelaki dan wanita dewasa, (datuk atau nenek), dewasa lelaki (bapa), dewasa wanita (ibu), remaja (umur 13 hingga 18 tahun) dan kanak-kanak (umur dari 7 hingga 11 tahun).

Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta sekeping gambar keluarga berukuran 4R.

Peserta yang hadir juga perlu memakai pakaian yang sopan sewaktu sesi uji bakat nanti.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates