All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Thursday, September 30, 2010

Bukan sehari dua KRU cipta magika

KRU bersaudara memang tidak pernah kekeringan idea dalam selok-belok hiburan. Pada awal kemunculan dulu, mereka berjaya mencetuskan revolusi muzik khususnya irama dan lagu berkonsepkan tarian. Sekarang kita lihat sendiri, mereka sedang berusaha menjadi gergasi pembikinan filem tempatan pula. Baguslah kalau dulu ada Shaw Brothers, tidak mustahil KRU Brothers juga boleh menuju ke arah itu.

Daripada bujang sampailah berkahwin termasuklah ada yang dah menduda, KRU bersaudara tidak pernah kenal erti penat.

Mereka terus bekerja dan bekerja membina empayar KRU Berhad yang saya anggap satu jenama adik-beradik Melayu paling berjaya dalam dunia hiburan kita.

Boleh dikatakan kerjaya hiburan saya bergerak lebih kurang sezaman dengan KRU. Masih ingat lagi ketika tugasan pertama dengan Norman, Edry dan Yusry, kami membuat sesi foto untuk Harian Metro di kaki lima kedai bawang dan rempah, bersebelahan Central Market (CM) di Kuala Lumpur.

Memang ketika itu, saya tidak tahu apa yang ada dalam benak fikiran mereka mahupun segala visi yang berbayang sehingga ke hari ini.

Suatu ketika merekalah Raja Konsert dan kemudian melahirkan ramai bintang baru sebagai artis rakaman yang mampu berjalan megah di karpet merah.

Bukan saja mencipta bintang, KRU juga mampu bekerja de­ngan penghibur handalan seperti Anita Sarawak dan M Nasir.

Yang pastinya, KRU bukan hanya hebat di depan kamera dan pentas semata-mata tetapi merekalah pencetus idea-idea selaku ‘mastermind’ dari tahap angan-angan hinggalah ke strategi mencari dana dan pemasaran.

Ada juga suara sinis mengatakan KRU kaki mencedok dan mengubah suai idea orang. Bagi saya, kalau pun perkara itu betul, ia tidak salah kerana ia lebih baik daripada hanya tahu bercakap dan komen, tanpa berbuat apa-apa langsung!

Sekurang-kurangnya KRU membuktikan Malaysia juga sedang bergerak dengan karya-karya menyegarkan dan menambah pilihan pengguna baik dari sudut muzik dan juga filem.

Yang jelasnya, bukanlah sehari dua KRU mencipta magika dalam potfolio mereka. Projek demi projek terus dilaksanakan dalam tempo yang seimbang.

Dalam pada Norman sibuk dengan tugas sebagai pengetua di Akademi Fantasia 8 (AF8), saya difahamkan Yusry pula sibuk dengan kerja-kerja pembikinan epik Merong Mahawangsa yang akan mencipta satu lagi sejarah baru.

Edry yang ‘champion’ dalam soal-soal muzik begitu sibuk mengemudi ‘single’ pelajar-pelajar abangnya dalam AF8 itu dan pada masa yang sama, mengikut jejak Yusry menjadi seorang pengarah melalui projek filem muzikal Magika.

Pendek kata, tiga beradik itu tidak pernah berpeluk tubuh atau curi tulang kerana merekalah enjin-enjin penting yang memacu KRU dengan sokongan ‘teamwork’ di bawah mereka.

Saya gembira melihat produk terbaru KRU, Magika yang kini sedang ditayangkan di pawagam sejak 23 September. Terus terang, ia bukanlah hasil yang sempurna tetapi sangat membanggakan terutama bagi pengarahan pertama Edry di layar perak.
Ada yang cakap Magika seperti Alice In Wonderland atau Bedtime Stories namun itu bukan masalah bagi saya kerana cerita dan wataknya sudah diadaptasi menjadi muzikal Melayu.

Usahlah kita harapkan atau menunggu Barat atau mana-mana negara luar bermurah hati menonjolkan watak-watak dongeng Melayu dalam karya mereka. Sekurang-kurangnya apabila ibu bapa membawa anak-anak mereka menonton Magika, mereka akan lebih mesra telinga dan mata dengan nama-nama seperti Pak Pandir, Badang, Mahsuri, Nenek Kebayan, Bawang Putih, Bawang Merah, Awang Kenit, Tasik Chini, Batu Belah Batu Bertangkup dan macam-macam lagi.

Dari sudut pembikinan, ada beberapa babak Magika yang dianggap hebat, antaranya babak awal apabila ada puluhan ‘Maya Karin’ sebagai gadis-gadis bunian yang menyanyi dan bertempiaran lari dalam hutan apabila kawasan mereka diceroboh.

Babak itu turut dicemburui pengarah Aziz M Osman dan Mamat Khalid yang berpendapat ia sungguh cantik dan menyakinkan apalagi mengambil kira hasil pertama Edry di kerusi pengarah.

Apa yang saya harapkan, filem ini akan mendapat respon baik daripada penonton sebagaimana Cicak-Man yang pertama dulu. Apa juga yang saya nampak, Magika akan menjadi sangat mudah apabila dibawa masuk ke Istana Budaya (IB) nanti kerana acuan muzikalnya sudah tersedia. Malah semua pelakon popularnya menyanyi­kan sendiri lagu-lagu yang dicipta KRU untuk filem itu.

Selepas Magika, ada satu lagi keterujaan saya iaitu menonton Merong Mahawangsa kerana mendengar khabar produksi yang lebih gah termasuk menggunakan skor muzik oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). Itu juga satu lagi benda baru yang KRU mendahului pembikin filem lain.

Mudah kata, semoga kejayaan dan visi KRU bersaudara selama ini akan mencetuskan ilham kepada ramai lagi anak muda di luar sana yang mencintai muzik dan filem - roslenmetro@yahoo.com


sumber : www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates