All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Friday, September 17, 2010

Kes bunuh Sosilawati: ‘Kami ada bukti kukuh’

KUALA LUMPUR: “Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara berkemungkinan minggu depan. Polis yakin siasatan kami punya bukti kukuh,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berhubung perkembangan terkini pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Menurutnya, bukti kukuh itu yang dikumpul berdasarkan penemuan tulang, beberapa senjata, barangan peribadi dan pengakuan suspek diyakini mampu mengaitkan dan mengheret suspek utama dan tujuh yang lain ke mahkamah bagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Beliau berkata, sehingga kini polis menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, bermula semalam. Bagaimanapun, anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.


“Polis percaya kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya dapat diselesaikan berdasarkan tindakan diambil dan bahan bukti yang diperoleh,” katanya.


Mohd Bakri berkata, bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa, keputusan mengenainya hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya dalam empat hari lagi.


“Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini (semalam) dan jika selepas ini kami dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda yang perlu dicari atau dilakukan, kami akan sambung operasi,” katanya.


Mohd Bakri berkata, dua pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata, bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi, Datuk Hadi Ho Abdullah.


“Setakat ini, kami sudah kenal pasti suspek terbabit empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama. Kami tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lalu,” katanya.


Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.


Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. Kes pembunuhan itu terbongkar selepas penahanan suspek utama yang juga seorang peguam berusia 41 tahun pada 11 September lalu diikuti beberapa tangkapan membabitkan tujuh individu lain. Semua suspek dipercayai pekerja suspek utama.


Sebelum itu, polis menemui kereta mewah milik Sosilawati ditinggalkan di sebuah pangsapuri di USJ1 dan kereta peguamnya di tempat letak kereta Hotel Dorset, Subang Jaya.


Peguam terbabit orang terakhir dilihat bersama semua mangsa. Setakat ini, motif pembunuhan masih dalam siasatan.


Sejak itu, kawasan Ladang Gadong dipercayai milik suspek utama menjadi tumpuan siasatan polis selain tiga sungai utama di kawasan berkenaan iaitu Sungai Kanchung Laut, Sungai Gelanggang Buaya dan Sungai Panchau yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan tulang mangsa, senjata pembunuhan dan barangan peribadi mangsa termasuk jam tangan serta telefon bimbit. Semua sungai berkenaan terletak antara dua hingga lima kilometer dari ladang berkenaan. Wartawan Harian Metro yang ‘berkampung’ di lokasi kejadian sejak Ahad lalu juga mendapati orang ramai terutama penduduk sekitar keluar beramai-ramai untuk melihat lokasi kejadian tanpa menghiraukan kawasan berkenaan dikawal ketat.


Dalam tinjauan semalam selepas media dibenarkan mendekati kawasan pintu masuk ladang berkenaan mendapati kawasan ladang itu dipagar dengan tembok simen setinggi kira-kira dua meter manakala pintu masuk utama dikawal menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar kira-kira 100 meter dari pintu utama ladang. Pintu masuk utama ladang itu turut tertera dua tanda amaran iaitu ‘Dilarang Masuk’ dan ‘Awas Anjing Ganas’. Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sirih di sepanjang laluan pintu masuk hadapan


sumber : www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates