All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, September 26, 2010

Chong Wei juara Terbuka Jepun


CHONG Wei tampil hebat menjuarai Terbuka Jepun selepas menewaskan Lin Dan.


TOKYO - Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menewaskan musuh tradisi, Lin Dan untuk memenangi gelaran perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun di Tokyo semalam.

Pemain pilihan pertama dari Malaysia yang mara ke final tanpa tewas satu set itu mencipta kemenangan 22-20, 16-21, 21-17 ke atas bekas juara dunia tiga kali, Lin Dan.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai AS$200,000 (RM618,400).

"Ini adalah kejayaan kedua saya pada Terbuka Jepun. Saya berjaya mencapai sasaran tahun ini iaitu untuk memenangi Seluruh England dan Terbuka Jepun. Jadi saya berasa sungguh gembira kerana berjaya mencapai kedua-dua sasaran itu," kata Chong Wei.

"Saya tidak bermain dengan baik pada Piala Thomas dan saya mengalami kecederaan di Paris, sekali gus gagal memenangi kejuaraan dunia. Kini, saya meletakkan sasaran pada Sukan Komanwel di India dan Sukan Asia di China."

Pada pertemuan semalam, Lin Dan yang juga juara pada tahun 2005 dan 2006, banyak melakukan pukulan yang kencang terutamanya pada set kedua.

Begitupun Chong Wei, 27, berjaya menguasai semula permainan pada set ketiga meskipun Lin Dan sentiasa mengekori rapat di belakang sebelum ketinggalan 19-15.

Chong Wei berjaya mendahului 20-17 apabila pukulan Lin Dan banyak tersasar dan menewaskan pemain China itu menerusi satu pukulan ke belakang.

"Saya menukar rentak pada set ketiga dan menambah kelajuan pada pukulan untuk mendahului 11-7. Saya tidak terlalu tertekan apabila saya diekori rapat dan terus melancarkan serangan," kata Chong Wei.

Bagi Chong Wei, kemenangan ini adalah yang kelapan keseluruhan musim ini.

Sementara itu, gandingan negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal menembus kekalahan pada Kejohanan Dunia bulan lepas apabila tewas kepada beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng, 21-18, 14-21, 12-21 pada final.

Pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis, Kien Keat-Boon Heong akur dengan kehebatan gandingan China itu apabila tewas 21-18, 18-21, 14-21.

Dalam pada itu, juara dunia remaja 2002, Jiang Yanjiao yang menyingkirkan rakan senegara, Lu Lan dan Wang Shixian untuk menempah tiket ke final, mengejutkan pemain No. 1 dunia, Wang Xin 23-21, 21-18 untuk merangkul gelaran perseorangan wanita.

Yanjiao yang hanya mengambil masa 37 minit untuk menewaskan Xin berkata: "Saya berasa sungguh gembira untuk memenangi gelaran ini pada final pertama di sini."


sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates