All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Sunday, January 2, 2011

Kejayaan Hantu Kak Limah Balik Rumah beri kepuasan kepada Mamat

SAMBUTAN filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang agak luar biasa membuatkan pengarahnya, Mamat Khalid seperti sedikit terpinga-pinga.
Pengarah ini macam tak sangka filem komedi seram yang jalan ceritanya ringkas dan lurus saja boleh mencatatkan kutipan lebih RM6 juta. Apatah lagi filem itu ditayangkan menerusi 46 panggung.
Jumlah kutipan kasar mungkin bertambah besar kalau penerbitnya, Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) yakin Hantu Kak Limah Balik Rumah mendapat sambutan tinggi dan ditayangkan sekurang-kurangnya 60 panggung.

Bagaimanapun, Mamat yang tidak mahu mengulas strategi penerbit menayangkan filem arahannya itu.

Sebaliknya, sebagai pengarah, dia memang sangat berbangga kerana filem Hantu Kak Limah Balik Rumah masih mendapat perhatian penonton walaupun sudah tiga minggu ditayangkan. Malahan beberapa panggung di bandar kecil seperti Teluk Intan, Perak baru mula menayangkan filem ini sejak Jumaat lalu.

“Bagi saya, kalau tayangan filem Hantu Kak Limah (Hantu Kak Limah Balik Rumah) berjaya melepasi tempoh empat minggu, ia adalah cukup memadai. Berapa sasaran kutipan filem ini, bagi saya sebagai pengarah tidak penting.
“Apa yang lebih penting bagi saya ialah masih ada yang mahu menonton filem ini dan jumlah mereka ini ramai,” katanya kepada Hip.

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang berjaya melakar sejarah buat syarikat penerbitan TUSB, turut menjadi filem tertinggi meraih kutipan sepanjang pembabitan mereka dalam industri perfileman.

Ditanya adakah dia akan terus memberikan khidmatnya kepada TUSB atau berniat untuk menimba lebih banyak pengalaman daripada syarikat penerbitan filem lain, Mamat menjelaskan dia sebenarnya tidak memilih syarikat tertentu untuk berkarya.

“Sebenarnya saya teringin untuk berkhidmat dengan syarikat penerbitan lain bagi mengembangkan bakat dan menimba lebih banyak ilmu. Malahan saya juga teringin merasai penggunaan studio lain dan bekerja dengan disiplin yang berbeza.

“Saya tidak memilih mana-mana syarikat, apa yang penting kerjasama itu akan mematangkan lagi kerjaya saya dan meningkatkan lagi kreativiti yang boleh saya sumbangkan kepada industri perfileman tempatan,” katanya.

Selepas ini Mamat akan menumpukan kepada filem terbarunya berjudul Apokalips yang sedang dalam proses memasukkan suara atau dubbing. Apokalips adalah filem arahan yang kelapan selepas Lang Buana, Rock, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, Estet dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Filem itu dipilih daripada genre filem ‘grafik novel’ yang akan memaparkan aksi remaja dan bakal ditayangkan pertengahan tahun ini.

Menurut Mamat, filem Apokalips memberi cabaran tersendiri dalam usahanya untuk meneroka cita rasa sebenar daripada golongan remaja.

Hantu Kak Limah bersambung

KESIHATAN Kak Limah kini sudah pulih seperti sedia kala. Dia tidak lagi mengalami gangguan mental dan mengganggu penduduk kampung.

Kak Limah berniat untuk membawa rombongan penduduk kampung Pisang Ke Singapura.
Dengan menaiki bas, rombongan itu bukan saja dipenuhi dengan penduduk kampung tetapi turut ditumpangi oleh ‘hantu-hantu’.

Itulah antara jalan cerita yang sedang difikirkan oleh Mamat Khalid daripada kesinambungan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Ia sekali gus tidak menafikan bahawa filem Hantu Kak Limah Rumah memang ada sambungannya. Bagaimanapun, judulnya tidak dikekalkan. Sebaliknya, buat sementara ini Mamat bercadang menggunakan judul Usop, Abi, Jin Pakai Toncet.

Begitu juga dengan senarai pelakon yang bakal membintanginya, lokasi dan tarikh sebenar penggambaran filem ini hendak dimulakan juga masih belum ditentukan lagi.

“Sebelum ini, saya banyak buat filem dengan mempelbagaikan genre. Ia bertujuan untuk mengenali selera penonton dan mengumpul pengalaman sebanyak yang boleh.

“Alhamdulillah, saya baru saja selesai menyudahkan skrip berjudul Usop, Abi, Jin Pakai Toncet. Ceritanya mengambil kesinambungan daripada filem Kak Limah yang dibuat memang untuk hiburan,” katanya sambil menjelaskan sambungan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dibuat selepas mendapat maklum balas daripada sebahagian besar penonton yang menonton filem itu.

Mamat berkata, selepas mencuba pelbagai genre filem, beliau berasakan sudah mula ‘mengenali hati penonton’.

“Saya menemui rahsia ini menerusi sambutan menggalakkan daripada penonton yang tengok filem Hantu Kak Limah Balik Rumah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates