All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Monday, November 22, 2010

Masih ada harapan

HARAPAN kita untuk mencapai sasaran masih ada.”

Demikian tegas Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010, Datuk Zolkples Embong mengenai misi membawa pulang sembilan pingat emas pada temasya kali ini yang kini dilihat semakin sukar untuk dicapai.

Menurut Zolkples, meskipun sasaran emas bagi beberapa acara gagal direalisasikan, terutama dalam acara boling, namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu tetap optimis sasaran sembilan emas masih mampu digenggam dalam temasya di Guangzhou apabila ia melabuhkan tirainya.

“Kita masih ada lagi peluang untuk mencapai sasaran sembilan pingat emas ini meskipun menghadapi kesukaran dalam beberapa acara,” kata Zolkples kepada Kosmo! di Guangzhou semalam.

“Walaupun skuad boling kita terlepas beberapa pingat, namun mereka masih berjaya menyumbang dua pingat. Malah masih ada lagi acara masters di mana dua pemain kita layak ke acara tersebut.

“Kita juga masih mengharapkan dua lagi pingat emas daripada acara skuasy (berpasukan lelaki dan wanita) dan acara karate yang masih belum bermula.

“Jadi kita mungkin mengharapkan sesuatu mampu dijelmakan menerusi atlet karate kita,” katanya.

Sehingga semalam, kontinjen negara telah mengumpul enam pingat emas, terbaru menerusi pemain boling, Alex Liew Kien Liang dalam acara All Events lelaki.

Penyumbang lain ialah atlet wusyu, Chai Fong Ying dalam acara Taijiquan\Taijijian individu, Alex Liew Kien Liang dan Adrian Ang Hsien Loong (boling berpasangan lelaki), Azizulhasni Awang (lumba basikal keirin), Datuk Nicol David (skuasy wanita) dan Mohd. Azlan Iskandar (skuasy lelaki).

Badminton yang diramalkan mampu menyumbang dua emas juga gagal melakukannya.

“Sebenarnya kita sudah boleh menghampiri sasaran seandainya pemain badminton kita tidak kalah dalam dua aksi final baru-baru ini,” jelas Zolkples.

“Kita tidak boleh buat apa-apa selain mengharapkan kejutan dalam beberapa acara seperti sepak takraw, hoki dan mungkin boling (masters) selepas ini. Mereka juga masih boleh diletakkan harapan walaupun agak tipis.

“Begitupun, kita tidak akan berputus asa. Selagi peluang masih ada biarpun dilihat semakin sukar setiap hari, namun selagi tirai Sukan Asia di Guangzhou ini belum dilabuhkan, perjuangan kita masih belum berakhir,” katanya penuh yakin.

sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates