All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Wednesday, November 10, 2010

Belum fikir lagi soal kahwin

KEGAGALAN Fazura dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) menerusi filem Pisau Cukur mengundang perbualan ramai. Semua berasakan dia layak dimasukkan dalam kategori itu, malangnya pihak penilai dikatakan terlepas pandang dan hanya mencalonkannya dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan.

Gelaran itu pun agak sukar diraihnya apabila tewas di tangan Norliana Shamsudin yang dilihat begitu menyerlah menerusi filem Adnan Sempit. Agak menghairankan apabila Fazura sendiri tidak langsung memberikan komen seolah-olah tidak mengambil kisah apa yang berlaku di sekelilingnya. Namun, boleh dibuat kesimpulan dia seakan-akan kecewa dengan apa yang terjadi.


Bagaimanapun, masih ada peluang buat Fazura membersihkan calar pada wajahnya menerusi Anugerah Skrin 2010 TV3 yang bakal berlangsung pada penghujung Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kali ini banyak pihak berasakan panel juri tidak terkhilaf lagi menilai siapa yang layak dicalonkan mengikut kategori yang sesuai.

Itulah juga harapan pelakon cantik ini. Ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Bujang Terlajak arahan Profesor A Razak Mohaideen, pelakon ini meletakkan harapan Anugerah Skrin tidak mengulangi 'bencana' yang berlaku pada FFM23.


"Saya lihat Anugerah Skrin adalah anugerah yang menarik dan begitu berprestij serta harap janganlah jadi seperti FFM23. Bukan apa, selepas FFM23, orang risau bagaimana keadaan industri filem kita kerana terlalu banyak kekalutan dan pertanyaan berhubung penganjuran dan pencalonan setiap kategori.


"Saya harap sangat Anugerah Skrin membuka mata untuk menghargai karyawan seni iaitu pelakon dan penggiat seni mengikut landasan yang betul. Mereka perlu dihargai dan diberikan pengiktirafan kerana hanya orang seni yang tahu bagaimana susahnya bekerja dalam bidang ini," katanya sebelum sesi penggambaran bermula.

Meskipun raut wajahnya tenang, terselit nada kekecewaan dalam patah perkataan Fazura apabila mengakui selepas FFM23 dia tidak berharap sangat dicalonkan dalam mana-mana anugerah atau meraih kemenangan. Cukuplah dia memberikan lakonan terbaik yang diingati peminat.


"Yang penting peminat tahu bagaimana lakonan saya. Lakonan saya kini hanya untuk peminat, bukannya kerana untuk bertanding. Hendak bercakap banyak pun saya malas kerana nanti orang kata saya macam-macam pula sedangkan perasaan kecewa saya orang tak tahu. Sebenarnya bukan mudah menjadi anak seni kerana terlalu banyak pengorbanan perlu dibuat.

"Apapun saya percaya barisan juri untuk Anugerah Skrin lebih baik menilai dan jujur dalam kerja mereka. Jika saya dicalonkan untuk kategori yang sepatutnya, saya akan bersyukur. Ini perkara biasa kerana setiap artis dan pelakon rasa dihargai apabila dicalonkan mengikut kategori yang betul dan meraih kemenangan.

"Orang pergi pada majlis anugerah untuk melihat mereka yang terbaik. Barulah timbul perasaan seronok. Saya kena percaya pada rezeki dan jika ada (rezeki) pada Anugerah Skrin, saya akan bersyukur dengan kurniaan ini," katanya yang mengakui tidak mengambil tahu langsung dan tidak membabitkan diri dengan program FFM23.


Bercerita mengenai kerjayanya, Fazura mengakui kelibatnya jarang kelihatan dalam lakonan kerana berehat selama setahun. Dalam tempoh itu dia sibuk dengan tugasan sebagai duta untuk produk wangian Avon, Nutox Skincare dan Hair Extension jenama Hair Dreams. Filem Bujang Terlajak boleh diibaratkan kemunculan semulanya dalam seni.


"Ini ialah filem ke-10 lakonan saya dan ketiga dalam genre komedi. Saya melakonkan watak Puteri yang digilai tiga ahli silap mata profesional, Saiful, Nabil dan Johan. Saya terbabit dalam sekitar 15 babak. Sebelum ini profesor (A Razak) ada tawarkan saya berlakon filem 4 Madu tapi saya tolak kerana jadual terlalu padat. Memang tiada rezeki untuk bersama dia.


"Namun tawaran kali ini saya tak dapat tolak lagi kerana saya pun tidak mahu buat benda sama. Bila dia tawarkan saja, saya terus berikan persetujuan kerana rasa rindu hendak berlakon. Saya juga hendak rasa pengalaman berlakon di bawah arahan profesor (A Razak) kerana kita perlu mempelbagaikan pengalaman dalam lakonan.


"Saya tahu ramai hairan kenapa tiba-tiba saya berlakon dengannya kerana sebelum ini saya pernah berlakon filem di bawah pengarah yang agak moden iaitu Bernard Chauly, tapi saya ada sebab tersendiri berbuat demikian. Setiap orang ada cara berbeza dan itulah keistimewaan mereka.

"Lagipun walaupun orang kata macam-macam mengenai filemnya, tapi filemnya tetap boleh diterima penonton.


"Selepas enam hari penggambaran saya rasa keseronokan berlakon kerana ia berbeza daripada filem lakonan saya sebelum ini. Ia bukanlah komedi slapstik. Mulanya saya takut juga kerana banyak komedi, tapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dengan semua pelakon. Filem ini menampilkan komedi ringan dan sesuai ditonton untuk mengurangkan tekanan," katanya yang berhasrat kembali aktif berlakon drama Januari tahun depan.


Alang-alang sudah berjumpa, Fazura turut dijolok mengenai persoalan hubungannya dengan seorang kerabat diraja seperti yang dihebohkan sebelum ini. Namun ringkas saja jawapan yang diberikan iaitu 'no komen'. Katanya, dia sangat rimas untuk bercakap mengenai perkara itu dan enggan membuka mulut. Bagaimanapun, dia sudi berkongsi pandangannya mengenai perkahwinan.


"Saya enggan fikirkan lagi soal kahwin kerana mahu berjaya dalam hidup terlebih dulu. Semua orang hendak berkahwin dan harapkan jodoh yang terbaik dalam hidup, begitulah juga dengan saya. Jikalau tergesa-gesa hendak kahwin tapi rumah tangga tak kekal pun tiada guna juga. Kalau boleh saya hanya ingin berkahwin sekali dan kekal buat selamanya.


"Saya juga tak fikir umur akan jadi isu saya perlu cepat kahwin. Lainlah kalau umur saya sudah mencecah 35 tahun, kenalah fikir untuk cepat kahwin kerana sukar nak melahirkan anak nanti. Soal jodoh ditentukan Allah dan saya akan terima dengan hati terbuka siapa jodoh saya nanti. Sudah semestinya saya harapkan jodoh yang baik dan kekal selama-lamanya.


Sebelum mengakhiri perbualan, Fazura turut menitipkan pesan buat peminatnya. Katanya jangan terkeliru dengan kewujudan laman sosial popular Facebook (fb) individu yang menyamar menggunakan nama dan wajahnya. Jelasnya dia hanya mempunyai laman web peminat (fansite) bukannya yang berbentuk peribadi.

sumber : www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates