All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Thursday, October 7, 2010

Siti belum terdesak

Masih berikhtiar pelbagai cara untuk dapatkan zuriat

HANYA kerana sekeping surat dari doktor pakar sakit puan yang menjelaskan masalah kesihatannya, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dikatakan hamil. Kecoh seketika dunia hiburan ketika itu.

Maklum sajalah, cerita Siti mengandung adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan sehingga setiap kali hadir dalam apa saja majlis, soalan itulah yang akan diajukan dulu.
Berikutan tersebarnya cerita itu, lain pula cerita yang timbul iaitu kononnya Siti menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF (In Vitro Fertilisation) atau melalui permanian berhadas di London seperti yang didakwa. Siti dikatakan melakukan kaedah itu di London sebelum menunaikan umrah Ogos lalu. Akibatnya, Siti dihujani pertanyaan mengenai perkara itu.

“Sebenarnya Siti tak adalah menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF atau melalui permanian berhadas (IUI) seperti didakwa. Tapi Siti akui ada buat rawatan penyuburan tetapi secara akupunktur dan meminum herba sebagai perubatan alternatif.

“Lagipun ia bukanlah sesuatu yang dirancang. Kebetulan sewaktu Siti bersiar-siar, Siti ternampak ada rawatan akupuntur, itu yang Siti tergerak untuk mencubanya,” terang Siti menjelaskan silap faham yang berlaku.

Siti berkata demikian ketika mengadakan majlis meraikan 100 Pemenang program Berhari Raya bersama Datuk Siti Nurhaliza di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Biarpun persoalan mengenai anak adalah perkara wajib yang akan dikemukakan setiap kali bertemu penyanyi ini, namun jelas Siti dia tidak mempunyai kuasa untuk mengelak ataupun memarahi si penanya.

“Sebagai selebriti, Siti sedar apa saja perkembangan terbaru mengenai Siti khalayak mahu tahu. Jadi Siti memang sudah bersedia dengan apa saja yang berlaku.

”Insya-Allah, apabila sampai waktunya nanti, pasti Siti umumkan sebab ia adalah perkara yang baik,” kata penyanyi lagu Biarlah Rahsia.

Ditanya apakah berkemungkinan suatu hari nanti dia akan menggunakan kaedah rawatan moden itu untuk mendapatkan zuriat, Siti tidak menolak jika ia mampu memberikan hasil yang diharapkan.

“Bagaimanapun, buat masa ini Siti masih belum terdesak untuk melakukannya. Biarlah Siti berusaha terlebih dulu dan jika terasa mahu mencubanya, Siti pasti akan melakukannya. Bergantung pada pada masa dan juga situasi,”ujarnya.

Mahu hargai stesen TV

SEPANJANG Aidilfitri lalu, tidak dinafikan wajah penyanyi terkenal ini menguasai hampir semua saluran televisyen. Ada yang mendakwa, stesen TV seolah-olah ketandusan artis.

Ketika diajukan pertanyaan ini, Siti dalam nada yang cukup tenang berkata, apa yang dilakukannya itu adalah sebagai menghargai permintaan stesen televisyen itu sendiri.

“Sebenarnya Siti hanya merakamkan empat program baru saja untuk hari raya iaitu RTM, Astro, TV3 dan TV9. Selebihnya program yang diulang siar. Siti menerima tawaran itu kerana tak suka menghampakan permintaan mereka. Lagipun stesen TV memang banyak membantu perjalanan karier seni Siti,” jelas Siti.

Sementara itu, selepas berjaya dengan produk edisi terhad Koleksi Gold, Siti menerusi SimplySiti memperkenalkan gincu terbaru yang bertemakan Glam Red. Produk yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi ini memberikan pilihan kepada mereka yang gemarkan gincu berwarna merah.

“Sebelum ini SimplySiti hanya memperkenalkan rangkaian gincu daripada pelbagai warna. Untuk keluaran Glam Red ini, fokus utama kami adalah memberikan pilihan pelbagai warna merah. Siti akui memang ramai peminat sukakan rangkaian warna merah dan produk ini dikeluarkan atas permintaan mereka juga.

“Seperti biasa, warna merah yang dipilih adalah atas nasihat jurusolek dan juga penasihat warna SimplySiti,” kata Siti yang turut mengenakan gincu rona merah serta solekan yang menyamai aktres luar negara yang popular sekitar 50-an.

Pada majlis ini juga Siti membuat kejutan pada majlis itu dengan hadir menaiki menaiki Ferrari merah. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Aizat, Ezlynn, Shahir, Saedah dan Saerah.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates