All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Monday, October 18, 2010

Maher Zain Penyelamat jiwa

Maher Zain damaikan hati 1,600 peminat di Shah Alam

TANPA sebarang publisiti besar-besaran, tiket untuk menyaksikan Maher Zain Save The Soul Showcase yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Selangor malam Khamis lalu laris dijual lebih awal dari yang dijangkakan. Malah, untuk persembahan selama dua malam berturut-turut itu turut menyaksikan lokasi itu sesak dengan penonton yang begitu teruja untuk melihat penyanyi keturunan Lubnan dari Sweden ini.

Dia hadir dengan pakej yang lengkap. Kacak, berbakat besar serta mempunyai vokal yang merdu membuatkan jejaka berusia 28 tahun ini begitu mudah mengumpulkan peminat. Ditambah dengan lagu nyanyiannya yang sarat mesej serta mempunyai melodi yang menarik, maka tidak hairanlah andai namanya begitu mudah mendaki populariti.

Sejak albumnya yang berjudul Thank You Allah meledak di pasaran sehingga berjaya meraih angka jualan sebanyak 30,000 unit, nama Maher terus meniti di bibir penggemarnya di sebelah sini.

Justeru, tidak hairanlah andai pada malam persembahan yang indah itu, lebih 1,600 penonton berasak-asak membanjiri lokasi terbabit semata-mata untuk menghayati keindahan melodi puji-pujian terhadap Ilahi itu walaupun pada masa yang sama di Stadium Putra Bukit Jalil, berlangsungnya konsert yang menampilkan naib juara American Idol musim kelapan, Adam Lambert.

Bukan pujian kosong, tetapi saat jejaka berusia 28 tahun ini melantunkan vokal merdunya, terasa jiwa bagai dibasuh. Hati menjadi tenang dan timbul perasaan damai dalam diri. Bait-bait liriknya yang menyentuh perasaan menghilangkan rasa gundah. Tidak keterlaluan andai dikatakan kehadiran Maher bagaikan penyelamat kepada kebanyakan jiwa yang mula ditenggelami arus noda dan dosa, seperti yang dinyatakan menerusi tajuk showcase yang dibawakan khas oleh Rumah Perlindungan Rhaudatus Sakinah (RS).
Muncul pada jam 9.30 malam selepas persembahan pembukaan oleh kumpulan Inteam dan Aishah, Maher mengucapkan salam pengenalan menerusi lagu Allah Allah Kiya Karo. Seperti yang dijangka kehadirannya membangkitkan semangat penonton dan disambut dengan sorakan dari mereka yang memang ternanti-nanti kemunculannya di atas pentas.

Ringkas saja penampilannya malam itu. Cukup dengan hanya mengenakan jeans, kemeja rona putih serta jaket khaki dan bertopi, Maher tetap kelihatan bergaya.

Dia punya aura tersendiri kala beraksi di atas pentas. Bukan saja mempunyai vokal yang merdu, jejaka ini turut mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik. Ada saja perkara yang ingin diperkatakannya kepada penonton. Sesekali dia berjenaka dan ada ketika dia sempat menabur nasihat. Ternyata, apa yang dikatakannya itu begitu relevan kerana dia bercakap berdasarkan pengalaman.

Kongsi kesedaran bersama peminat

APA yang ditulis Maher adalah berdasarkan pengalaman hidup sendiri serta pemikiran terhadap peristiwa yang disaksikan dalam kehidupan. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa tiga tahun lalu, dia sendiri pernah sesat dalam mencari arah tujuan. Maher leka dengan hiburan dunia sehingga terlupa akan tanggungjawabnya pada Tuhan. Mujurlah Yang Maha Esa memberikan kesedaran dengan begitu cepat.

Justeru, apa yang dilaluinya pada masa itu dikongsi bersama menerusi nyanyiannya. Dengan bakat yang ada, maka lahirlah lagu Thank You Allah, Open Your Eyes, Hold My Hand, yang menjadi antara lagu nyanyiannya pada malam itu. Turut didendangkan ialah Always Be There, Ya Nabi Salam Alaika, Hold My Hand, The Chosen One dan Open Your Eyes. Penyanyi ini menutup persembahan dengan lagu popularnya, Insha Allah.

Sepanjang persembahan malam itu, Maher lebih gemar meminta penonton menyanyi bersamanya. Paling menyeronokkan apabila penonton juga bersikap sporting dan rela melantunkan suara setiap kali mikrofon dihalakan ke arah mereka. Tanpa perlu menari, dia berjaya menjadikan dewan itu gamat ketika menyanyikan lagu yang tidak kurang rancaknya, Baraka Allahu Lakuma.

Sewaktu menyampaikan lagu For The Rest Of My Life, lagu yang ditulis khusus untuk isteri tercinta, Maher sempat menitip pesanan supaya pasangan yang sudah berumah tangga yang ada dalam dewan itu dapat menjaga keharmonian rumah tangga mereka.

Tidak dinafikan, Maher hadir tepat pada masanya. Pada saat hiburan berunsurkan Islam memerlukan sesuatu perubahan supaya mudah diterima golongan remaja, album Thank You Allah miliknya, memberikan alternatif berkenaan.

Teruja dengan sambutan yang ditunjukkan peminat, Maher berjanji akan datang semula ke Malaysia. Kali ini dia mengharapkan supaya dapat mengadakan sebuah persembahan berskala mega supaya lebih ramai peminat dapat menyaksikannya.
Konsert yang memakan masa hampir dua jam ini dikendalikan oleh dua pengacara hebat, Ahmad Fedtri Yahya dan Wardina Saffiyah.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates