All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Thursday, October 21, 2010

Magis Edry

  • Foto

Filem sulung arahannya raih kejayaan besar pada FFM23

TIRAI Festival Filem Malaysia ke-23 yang disingkap malam kelmarin di Center Atrium e@Curve, Mutiara Damansara, menyaksikan filem terbitan KRU Studios, Magika, menguasai Anugerah Cipta dengan lima kemenangan.

Filem arahan Edry Abdul Halim itu mengungguli Anugerah Lagu Tema Asal Terbaik iaitu Penyembuh Rindu, Anugerah Kostum Terbaik, Anugerah Penataan Seni Terbaik, Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik dan Anugerah Pengarah Harapan.

Satu pencapaian hebat buat sebuah genre filem muzikal yang masih boleh dianggap baru di negara ini.

Baru kali pertama menduduki kerusi pengarah, Edry mula menunjukkan kehebatannya apabila Magika meraih kejayaan besar pada malam berkenaan. Siapa sangka, di sebalik kehebatannya mencipta lagu, dia juga berbakat besar dalam bidang pengarahan. ‘Bayi sulungnya’ itu membuktikan hakikat berkenaan.

Lebih bermakna, kekuatan Edry dalam bidang pengarahan sendiri turut mendapat perhatian juri apabila mereka sebulat suara menobatkannya sebagai Pengarah Harapan. Satu kemenangan yang tak perlu dipertikaikan kerana Magika di bawah telunjuknya muncul sebuah filem yang membawa satu dimensi baru dalam dunia perfileman tanah air.

Magika yang ditayangkan pada 23 September lalu mendapat sambutan penonton apabila ia memungut RM3.4 juta. Filem berkenaan dilakonkan Mawi, Diana Danielle, Fimie Don, Aznil Nawawi, M Nasir, Maya Karin, Nabil, Ning Baizura, Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Vanidah Imran, Ziana Zain, Adibah Nor, Sabri Yunus dan ramai lagi.
Mengulas kemenangannya itu, Edry berkata, dia sendiri tidak menyangka percubaan pertamanya membuahkan hasil cukup menggembirakan.

"Selama ini saya menyangkakan saya hanya berbakat dalam bidang ciptaan lagu. Kemenangan ini membuktikan yang saya juga ada kebolehan untuk menjadi seorang pengarah dan saya tidak akan sia-siakan anugerah Allah ini.

"Kemenangan Magika dalam beberapa kategori lain juga turut membuatkan saya teruja dan sememangnya ia menjadi pendorong untuk saya terus berkarya," katanya yang melihat masa depan baik untuk filem muzikal terus diterima peminat negara ini.

Menurut Edry, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah lagi filem muzikal yang akan memulakan penggambarannya awal tahun depan.

"Filem muzikal cinta ini diberi judul 29 Februari. Jika dalam Magika saya mengundang ramai penyanyi untuk menjayakannya, kali ini saya akan kumpulkan ramai pelakon yang hebat. Mereka akan diajar menyanyi untuk filem muzikal terbabit," dedah Edry.

Ditanya adakah dia kecewa apabila Ziana yang memegang watak Nenek Kebayan tidak menang pada malam itu, Edry berkata, perkara itu bukanlah satu isu besar buatnya.

"Ziana sudah memberikan yang terbaik dalam Magika dan saya berpuas hati dengan hasil lakonannya. Biarlah dia tak menang kali ini kerana dia sebenarnya sudah menang sebagai pelakon terbaik dalam hati saya," kata Edry yang turut gembira apabila filem My Spy, juga terbitan KRU Studios, memenangi anugerah Filem Komedi Terbaik.

Trofi bagi kategori utama, Pengarah Harapan dan Filem Komedi Terbaik, disampaikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Manglin Dennis D'Cruc, yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) merangkap Pengerusi FINAS, Datuk Mohamad Mohd Daud dan Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim.

Bagi kategori lain, anugerah disampaikan pemenang tahun lalu.

Nama lain yang turut diumumkan pemenang pada malam perasmian festival itu Rabu lalu ialah Sashi Tharan bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki, Daphne Iking (Pelakon Harapan Wanita), Shaheizy Sam (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik) dan Norliana Samsudin (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian Dayang Nurfaizah, One Nation Emcees, Hafiz AF7, Zehra Zambry dan persembahan tarian oleh ASWARA. Acara malam perasmian FFM23 dikendalikan personaliti RTM, Nurul Alis.

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates