All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Monday, October 25, 2010

Kemenangan suntik semangat baru

AWAL Mac lalu, usai tayangan perdana V3: Samseng Jalanan berlokasi di Cathay Cineplex, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Lisa Surihani sempat meluah rasa tentang kesibukan diri mendepani aktiviti seninya. Berkejaran ke merata lokasi, kurang masa rehat ditambah pantasnya putaran 24 jam sehari, itu yang dikongsi bintang berbakat besar tersebut.

Begitupun, tidak terniat di laut fikirnya untuk meribut dengan segudang rungutan. Atau jauh sekali kesal dengan jalan hidup dipilih sejak terlibat aktif dalam cabang lakonan yang bermula pada tahun 2007. Cuma, tidak mampu dielak, dia hanya manusia biasa yang terkadang ingin bercerita sebenar dugaan sebagai anak wayang. Bukan semata-mata indah luarannya.

Melewati beberapa bulan, bertemu sekali lagi dengan aktres berusia 24 tahun itu. Cuma, kali ini, atmosferanya nyata berbeza. Anggun dengan gaun meleret rona hijau terang rekaan Khairi Sufi, Lisa berada di atas pentas gah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Lagenda Budak Setan.

Tatkala namanya dilaungkan oleh penyampai trofi - Rosyam Nor dan Erra Fazira sehingga memecah sunyi Pusat Konvensyen Shah Alam pada malam Ahad lalu, wajah Lisa sepertinya terkedu. Bukan hanya itu, dia tidak menyangka untuk mendahului senarai calon lain yang juga diisi oleh Maya Karin, Putri Mardiana, Mislina Mustaffa dan Jasmine Michael.

Dalam kelopak matanya digenangi manik-manik jernih, Lisa dilihat beberapa kali memeluk dan mencium tangan si ibu, Siti Amira Ahmad, 59, yang duduk di sebelahnya sebelum berjalan mengambil trofi. Hakikatnya, dia kini salah seorang daripada belasan wanita teristimewa memegang trofi keramat Festival Filem Malaysia sejak diperkenalkan tahun 1980.

Ditemui selepas FFM23 berlansung, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Aberystwyth, United Kingdom itu melahirkan perasaan kesyukuran terhadap penghormatan diraih. Tidak ketinggalan, lekas sahaja bibir mungil Lisa melontarkan ucapan terima kasih kepada ibunya yang selama ini banyak membantu melicinkan perjalanan seninya.


ADIK-BERADIK KRU, Edry. Norman dan Yusry membuktikan kredibiliti mereka bukan sekadar hebat dalam bidang muzik, tetapi juga dalam industri perfileman.


"Dalam waktu sama, saya ingin dedikasikan penghargaan ini buat arwah ayah (Mohamed Mahbob), adik-beradik dan kawan-kawan yang terus memberi sokongan tidak berbelah bagi. Tanpa doa mereka, saya tidak mampu berada pada tahap ini," jelasnya sedikit beremosi mengenang ayahnya yang tidak sempat menyaksikan momen penuh bersejarah itu.

Santun menuturkan bicaranya, Lisa yang dilahirkan pada 23 Mac 1986 itu mengaku dia sendiri tidak meletakkan ekspektasi untuk kemenangan yang dianggap tinggi melangit tersebut. Sementelah diri masih hijau dalam daerah hiburan, banyak lagi perlu ilmu serta pengalaman lakonan harus dikutip. Itu ungkapnya yang sarat sikap berpijak di bumi nyata.

"Saya rasa rendah diri sangat dengan kemenangan ini kerana datang pada FFM23 kerana sekadar suka-suka. Tetapi, sebagai manusia biasa dan individu, tipu kalau saya cakap tidak ada menaruh sedikit harapan. Cuma, malas hendak fikir sangat kerana takut apa yang diingini tidak menjadi. Lantaran itu, saya serahkan semua kepada kuasa Allah Taala.

"Terus terang, saya ramal Mislina menang dalam kategori ini disebabkan pernah melihat hasil kerjanya sebelum ini. Saya akui, dia seorang pelakon hebat. Tetapi, pelakon lain seperti Maya Karin, Putri Mardiana, Mislina Mustaffa dan Jasmine Michael juga ada keistimewaan sendiri," jawabnya yang masih berasa rendah diri berbanding empat calon aktres terbaik 2010 yang lain itu.

Menghiasi layar perak dengan tujuh filem pada tahun ini - V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto, Kapoww!, Lagenda Budak Setan, Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cyber X: Ancaman Penggodam, Lisa bagaimanapun awal-awal lagi bersedia menerima jangkaan lebih tinggi daripada peminat soal persembahan lakonannya kelak.

"Sebagai orang baru, saya kena ambil langkah demi langkah terutama dalam hal melibatkan kualiti lakonan. Dengan adanya trofi ini, saya tidak mahu jadikan ia sebagai tekanan. Saya sebaliknya berfikiran positif sekali gus menganggap kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik dalam drama mahupun filem.

"Selebihnya, saya serahkan 100 peratus kepada peminat untuk menilai hasil kerja diri. Pada pendapat saya, selain pihak media, mereka (peminat) menjadi individu terpenting memantau setiap apa yang saya lakukan dalam aspek lakonan," terang yang Lisa yang tidak pernah mengenal definisi kepuasan dalam kamus hidupnya sebagai pemain wayang.


JAGUH pecah panggung. Ahmad Idham (kiri) dan David Teo menjulang trofi Filem Box-Office yang diraih filem Adnan Sempit sambil diperhatikan oleh penyampai, Datuk Yusof Haslam.


Kegembiraan Bront

Tujuh tahun memperjudikan nasib dalam lapangan seni, umum tahu, bukan percikan kemasyhuran didambakan Bront Palarae. Dia sebaliknya berada di gelanggang sama dengan deretan pelakon lelaki sedia ada berbekalkan satu niat - mempamerkan bakat lakonan kepada umum. Seorang individu santai, tiada lain yang dimahukan oleh anak muda itu.

Tinggi antusias sebagai anak wayang, jejaka berusia 32 tahun itu sebelum ini sulit menerima lampu hijau daripada sang pengarah atau penerbit untuk menjadi wajah utama sesebuah filem. Begitupun, dia tidak lekas melatah dengan takdirnya. Menyedari hukum permainan bidang glamor, dia hanya membenarkan waktu berjalan dengan sendirinya.

Bergelar pemain untuk 15 buah filem sejak 2003 sebagai watak pembantu, rezeki akhirnya menyebelahi penama lengkap Nasrul Suhaimin itu. Pengarah sedang meningkat naik, Jason Chong menawarkan kesempatan kepada Bront memegang teraju utama dalam karya sulungnya, Belukar pada tahun 2009. Itu menjadi kegembiraan mutlak dirinya.

Menceduk kenyataan Bront kepada Kosmo! sebelum ini: "Dapat peluang berlakon dalam Belukar ibarat bulan jatuh ke riba. Berbaloi juga rasanya menanti untuk beberapa tahun bagi menerajui watak utama dalam filem. Sampaikan tulang rusuk saya boleh bergegar disebabkan terlampau memberi komitmen sepanjang menjalani penggambaran.

Pada ruang kosong diisi Bront itu, ternyata membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM23. Tercalon bersama empat aktor - Esma Daniel, Farid Kamil, Syamsul Yusof dan Zul Huzaimy, keputusan juri anugerah berprestij itu adil dan saksama.

Tidak dilupakan, karakter wanita utama filem terbitan rumah penerbitan, Preston Zaidan Productions Sdn. Bhd., Daphne Iking juga dipertauliahkan gelaran Pelakon Harapan FFM23. Terharu dengan apresiasi diterima, sosok tinggi lampai tersebut menjelaskan, ia bukan kemenangan peribadinya semata-mata. Ironinya, kerjasama banyak pihak.

"Saya begitu terhutang budi kepada Chew Kin Wah, Jason dan seluruh tenaga produksi yang menghasilkan Belukar dengan jayanya. Yang anda lihat di pawagam merupakan filem telah siap sepenuhnya sedangkan ada ramai individu terlibat dalam kerja belakang tabir termasuk suntingan dan lain-lain. Tanpa mereka, Belukar tidak menjadi karya.


NOVELIS terkenal, Ahadiat Akashah teruja dengan kemenangan Lagenda Budak Setan menggondol Anugerah Cerita Asal Terbaik.


"Oleh itu, saya anggap ia sebagai kejayaan bersama. Selain itu, saya cukup bertuah kerana sepanjang dalam bidang seni, saya banyak dibantu oleh rakan-rakan pelakon. Bayangkanlah, mereka tidak lokek memberi tunjuk ajar dan saling menyokong antara satu sama lain," akui Bront yang fasih berbahasa Hokkien, Thailand, Melayu dan Inggeris.

Sengaja membangkitkan isu lama menggalas tanggungjawab sebagai anak seni, hanya kini baru diiktiraf pada FFM23, spontan jawab Bront sambil ketawa mengekeh: "Saya tidak rasa sangat soal ini. Lagipun, tahun depan saya bakal muncul dengan beberapa buah filem. Soal terlepas pandang atau diskriminasi tidak pernah wujud dalam diri saya.

"Paling penting, saya berlakon kerana ingin dapat kepuasan. Pada waktu sama, saya mengamal cara kerja berlainan berbanding pelakon lain. Sejujurnya, saya semahunya menunjukkan komitmen penuh di lokasi penggambaran berbanding memikirkan perkara remeh lain," ucap Bront yang menjadikan bidang seni lakon sebagai kelangsungan hidup.

Bercakap tentang rencana selepas bergelar Pelakon Lelaki Terbaik FFM23, tanpa berselindung Bront memberitahu, tiada apa yang berupaya merobahnya menjadi insan lain selepas ini. Apa yang pasti, dia masih Bront dikenali sebelum ini. Trofi dan wang tunai berjumlah RM15,000 yang diterima, tidak lebih sekadar bonus atas penat lelahnya selama ini.

"Biarpun sudah memenangi anugerah besar ini, saya tetap ingin memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Ia tidak menjadikan saya terus larut dalam keadaan selesa selamanya. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Malah, masih jauh perjalanan saya sebagai pelakon. Ini permulaan saya untuk menuju tahap seterusnya," akhiri Bront tersenyum bahagia.


sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates