All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Saturday, October 2, 2010

Impian kecil pengantin jutawan


KISAH mempelai baru itu bermula dengan satu bidikan lensa di Genting Highlands empat tahun lalu. Sejak kali pertama merakamkan gambar atas dasar peminat dan artis, mereka tidak pernah bersua mahupun berhubungan.

Atas takdir yang mahu menyatukan mereka, satu panggilan telefon menjemput untuk hadir menyerikan satu majlis hari jadi menjadi sebab kepada bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 30, bertemu jodoh dengan seorang anak jutawan kosmetik.

Tidak sampai setahun menganyam cinta, mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri tepat pukul 4.40 petang Jumaat lalu.

Memilih tarikh 1 Oktober 2010, pernikahan Jimmy bersama Nursuhaila Eliani Datuk Shuhaimy, 24, berlangsung penuh meriah dengan hantaran dan mas kahwin berjumlah RM31,186.00.

Jumlah itu sebagai simbolik tarikh kelahiran Nursuhaila sendiri yang jatuh tanggal 31 Januari 1986.

Apabila pengacara yang baru sahaja diberi tugasan sebagai pengacara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu berjodohan dengan puteri tunggal daripada tiga beradik daripada keluarga pengasas produk kecantikan Natasha, ada yang melihat ia berlaku atas dasar harta kebendaan.

Sementelah Jimmy sendiri mengakui dia dan Nursuhaila masih perlukan banyak masa untuk saling mengenali setelah mendirikan rumah tangga.

Berikut ialah temu bual dengan pasangan pengantin baru itu:

Khabarnya bapa Nursuhaila membelikan sebuah limousin sebagai hadiah perkahwinan kalian, adakah ia akan menjadi milik kalian berdua?

NURSUHAILA: Benar bapa saya baru sahaja membeli sebuah limousin tetapi itu bukanlah hadiah kepada kami berdua, tetapi untuk kegunaan pada majlis perkahwinan sahaja.

Selepas segalanya selesai nanti, limousin itu akan dijadikan kenderaan pelancongan dan boleh disewa di resort kami yang terletak di Cameron Highlands.

Apa uniknya Nursuhaila kerana dalam masa yang singkat sahaja Jimmy boleh memutuskan untuk berumah tangga?

JIMMY: Banyak lagi masa diperlukan untuk kami saling mengenali. Sepanjang berkawan kami jarang keluar kerana kesibukan jadual saya. Secara luaran memang macam biasa, tetapi dalam hati banyak lagi yang perlu saya ketahui.

Soal harta juga banyak diperkatakan dan persoalan itulah yang saya luahkan kepada ibu mentua saya menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) pada malam dan pagi menjelang pernikahan. Saya memang mahu jadi sebahagian daripada keluarga ini.

Hidup kalian mungkin tidak banyak masalah dari segi kewangan, Nursuhaila sendiri membesar dalam serba kemewahan, mungkin kalian sendiri ada menyimpan impian kecil bukan seperti yang dibayangkan oleh masyarakat umum.

NURSUHAILA: Saya memang diajar bersederhana dalam semua segi. Saya juga seorang yang sederhana.

JIMMY: Saya ada banyak impian kecil yang mahu dilakukan bersama Suhaila selepas dia menjadi isteri saya, kami mahu melakukan aktiviti selam skuba bersama atau bermotor besar keliling Malaysia berdua. Setahun pertama adalah proses mencuba dan memperbaiki kesilapan masing-masing.




Bagaimana dengan bulan madu?

Kami tiada rancangan bulan madu yang khusus tetapi satu sahaja hasrat saya selepas bernikah iaitu mahu menunaikan ibadat umrah bersama isteri, mungkin sekitar Februari tahun depan. Kalau berbulan madu sekali pun, saya pilih untuk cuti-cuti Malaysia sahaja, mungkin ke Cameron (ketawa).

Ada khabar menyatakan Jimmy akan menguruskan perniagaan keluarga mentua selepas ini?

Perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan. Memang ada perbincangan tentang hal itu tetapi biarlah segala urusan perkahwinan ini diselesaikan terlebih dahulu. Lagipun saya masih terikat dengan kontrak bersama Astro. Karier seni saya akan berterusan dan jika AF masih mahukan saya, saya akan mengacarakan AF tahun depan.

Jimmy khabarnya lebih rapat dengan ibu mentua, Datin Muniroh berbanding Nursuhaila?

Memang saya rapat dengan ibu mentua. Orang kata, kalau mahukan anak kena pandai ambil hati ibunya.

Ada masalah dengan dialek Kedah yang menjadi pertuturan isteri dan keluarga mentua?

Saya okey dengan cara mereka. Lepas ini saya akan ajar dia (Nursuhaila) bercakap bahasa Inggeris dengan saya (berseloroh).


sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates