All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Thursday, October 7, 2010

Hadir serah diri bersama peguam

KUALA LUMPUR: Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.

Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini.

Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini berkata, tempoh tahanan reman peguam dan adiknya serta seorang lagi suspek bergantung keperluan siasatan.

Namun, dipercayai polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman mereka bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilapor hilang bersama rakan niaganya, April lalu.

Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35 dilaporkan sudah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.

Kes itu dipindahkan ke Balai Polis Petaling kerana suaminya dipercayai hilang di kawasan itu dan difahamkan, ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap balai polis berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka direman hingga semalam berhubung kes kehilangan seorang ahli perniagaan warga India, A Muthuraja yang datang ke negara ini untuk membuka perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam suspek, Ravi Neeko berkata dia dihubungi seorang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memaklumkan penahanan semula anak guamnya.

“Pagi tadi (semalam) saya dihubungi seorang pegawai polis dan memaklumkan anak guam saya akan ditahan semula dan mereka kini berada di dalam lokap di sebuah balai polis di Kuala Lumpur sehingga esok.

“Dijangka kedua-dua mereka (suspek utama dan adiknya) akan disambung reman esok atau lusa bersama enam yang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek kini di bawah siasatan IPK Kuala Lumpur dan bukan lagi IPK Selangor bagi membantu siasatan kes kehilangan Syafiq dan rakannya memandangkan soal siasat mengenai kes Sosilawati dan Muthuraja selesai.

Muthuraja, 34, dilapor hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini 18 Januari lalu.

Sebelum berita kehilangan Muthuraja dan Syafiq dilaporkan, negara digemparkan dengan pembunuhan kejam seorang jutawan kosmetik dan tiga yang lain dipercayai dilakukan tiga suspek berkenaan dan lima yang lain.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

sumber : www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates