All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Friday, October 22, 2010

Antara Magika dan Estet

EMPAT hari sebelum Malam Kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur jam 9 malam esok, filem Magika arahan Edry Abdul Halim sudah mencipta kejutan.

Daripada 12 anugerah yang disampaikan pada majlis Pelancaran FFM23 itu, Magika mengungguli empat anugerah untuk Pengarah Harapan Terbaik dimenangi Edry, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Fimie Don), Pereka Kostum/ Busana Terbaik (Hasnan Yaacob) dan Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/ Johan Lucas). Di sebalik kemenangan besar filem genre muzikal terbitan KRU Studios itu, ia seolah memberi petanda Magika ada kemungkinan menang sekali lagi untuk dua anugerah utama, Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik yang akan diumumkan esok.


Pada majlis pengumuman Top 5 lalu, Magika berjaya meraih 12 pencalonan manakala Estet arahan Mamat Khalid bersaing dengan lapan pencalonan. Berbanding Magika, Estet sebelum ini menang anugerah Pelakon Lelaki Harapan Terbaik menerusi Shashi Taran. Antara Magika dan Estet, kedua filem ini dijangka memberi saingan sengit merebut dua anugerah utama itu termasuk tujuh anugerah lain yang akan diumumkan, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.


Bagi kategori Filem Terbaik, trend dua tahun lalu menunjukkan filem genre komedi lebih menarik perhatian juri seperti mana dimenangi Kala Malam Bulan Mengambang (2008) dan Papadom tahun lalu. Untuk FFM23, dari aspek jumlah penyertaan, filem cereka meningkat kepada 29 berbanding 26 filem tahun lalu. Walaupun Magika dan Estet lebih mencuri tumpuan, penyertaan filem lain seperti Santau, Niyang Rapik, V3: Samseng Jalanan dan Evolusi KL Drift 2 mampu mencipta kejutan. Lima juri profesional dipertanggungjawab mengadili keputusan FFM23 iaitu pengarah Pansha, ahli akademik, Dr Naim Ahmad, Kamarudin Abu yang berpengalaman kerja belakang tabir, Pengarang Hiburan Bintang Popular (Berita Minggu), Akmal Abdullah manakala Tan Sri Kamarul Ariffin bertindak sebagai ketua juri.


Top 5 kategori Pengarah Terbaik dicabar antara Mamat, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menerusi Adnan Sempit, Farid Kamil (V3: Samseng Jalanan), Jason Chong (Belukar) dan Syamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2). Namun, apa yang mengejutkan, Magika tidak pula tercalon untuk kategori ini.


Bagi Ahmad Idham, FFM23 kali ini dilihat membawa banyak kejutan mengenai pencalonan dan keputusan pemenang yang sudah diumumkan sebelum ini. Namun, ia bukanlah pencapaian terbaik seperti yang diharapkannya.


Ada filem yang sepatutnya bertanding, tetapi tidak. Begitu juga, filem tidak dijangka menang tetapi sebaliknya. Saya sendiri tidak mahu meramal siapa yang layak menang.


"Sebagai orang lama dalam industri, biarlah FFM23 berlangsung mengikut cara mereka. Pada saya, FFM23 hingga kini masih berada di takuk lama.


"Hakikatnya, kejayaan festival ini tidak seiring dengan pencapaian realiti di luar. Ini terbukti apabila filem yang mendapat sambutan hebat penonton, selalunya tidak mendapat tempat di festival seperti ini.


"Saya melihat filem saya bukan hanya dinilai beberapa juri, tetapi penonton adalah juri sebenar. Sehingga kini, saya melihat cara pengurusan FFM23 masih kelam-kabut.


"FFM23 perlu anjakan baru, tetapi saya belum nampak. Apa yang berlaku, hadiah festival ini cuba diberikan sama rata. Saya sendiri malu bila penonton bertanya bagaimana filem hebat yang ditonton ramai, tetapi gagal tercalon mahupun menang," katanya.


Sebagai penggiat seni, Idham menyatakan dia mahu bertanggungjawab menaikkan industri perfileman dari aspek ekonomi. Walaupun kecewa dengan FFM23, dia menyatakan tetap hadir memberi sokongan.


Pengarah muda, Syamsul pula berpandangan pencalonan yang diterima kali ini sudah memberi kejayaan awal pada dirinya yang turut tercalon kategori Pelakon Lelaki Terbaik bersama Bront Palarae (Belukar), Esma Daniel (Santau), Farid Kamil (Lagenda Budak Setan) dan Zul Huzaimy (Haq).


"Saya bersyukur dan juga tersentuh bila mendapat pencalonan kali ini. Pencapaian ini bukan pada diri saya sebagai pelakon dan pengarah tetapi dianggap evolusi pada perjalanan karier seni saya dan produksi Skop Productions sendiri.


"Terima kasih pada juri yang memilih saya untuk tercalon pada FFM23. Sebagai calon, tipu jika saya tidak mengharapkan kemenangan.


"Menang atau tidak, saya tetap bersyukur dengan pencapaian filem saya sendiri yang akhirnya hasil usaha saya bersama semua kru dihargai pada festival ini.


"Soal saingan, terus terang saya tertanya mengapa Shaheizy Sam tidak tercalon dan saya tercalon. Saya melihat lakonan Shaheizy jauh lebih bagus daripada saya.


"Mungkin juri melihat setiap pelakon yang tercalon mempunyai kelebihan tersendiri. Tidak bermakna pelakon yang tercalon adalah terbaik dan juga sebaliknya," katanya.


Apapun, Estet juga mempunyai peluang untuk menang Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Hasil karya Mamat ini bukan saja bergantung pada hero, Farid Kamil bersama gandingan pelakon baru seperti Shashi, tetapi tema 1Malaysia sebagai tarikan mampu melonjak filem ini sebagai satu kejayaan baru pada perkembangan filem tempatan.


sumber : www.hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates