All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.

Monday, September 27, 2010

Raja Lawak 5 ke Sarawak

PROGRAM Raja Lawak yang mula menemui penonton di saluran Astro Prima pada tahun 2007 telah melahirkan ramai bakat komedi tempatan yang mewarnai industri hiburan negara. Bakal memasuki musim yang ke-5, program yang semakin diminati ramai itu menjadi antara program realiti TV yang mencecah rating yang tinggi.

Paling menjadi perhatian pastinya bekas dua finalis Raja Lawak, Johan dan Zizan. Biarpun tidak muncul juara, namun mereka kini semakin dikenali semenjak dipilih menjadi pengacara untuk program yang sama bermula musim kedua.

Sepanjang mengacarakan program Raja Lawak selama tiga musim berturut-turut, terdapat beberapa insiden serta isu kontroversi yang melanda mereka berdua. Namun, itu semua tidak pernah melunturkan populariti yang diraih, malah program berkenaan turut mendapat sambutan yang hangat daripada penonton.

"Kami rasa bersyukur kerana terus diberi kepercayaan untuk mengacarakan program Raja Lawak bagi musim ke-5. Mengenai idea terbaru yang ingin ditampilkan, biasanya idea itu hanya akan datang pada saat-saat akhir iaitu ketika rakaman hendak dibuat.

"Bagaimanapun, saya akan berbincang dengan Zizan jika ada sebarang idea yang boleh diketengahkan. Namun kami tetap perlu mematuhi skrip daripada pihak produksi walaupun diberi kebebasan jika ada idea yang datang secara spontan," ujar Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohd. Aziz pada pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini.

Bagi Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Raizizan Ab. Razak, dia melihat gandingannya bersama Johan begitu serasi dan merasakan itu adalah antara sebab utama mereka masih terus dikekalkan sebagai pengacara program Raja Lawak.

"Memang saya akui begitu senang dapat bekerjasama dengan Johan. Kalau ditakdirkan tidak lagi bergandingan dengannya, saya sendiri pun tidak pasti siapa yang serasi untuk bergandingan bersama saya.

"Johan juga seorang yang mudah bertolak ansur dan banyak menyalurkan idea menarik sepanjang mengacara bersama. Saya juga bersetuju dengan apa yang dikatakannya bahawa kami perlu tingkatkan lagi persembahan terutama dari segi lawak yang ditampilkan ketika mengacara program berkenaan," ujar Zizan.

Pada masa yang sama, mereka turut menasihati bakal peserta yang ingin menyertai program Raja Lawak musim baru supaya tidak membuat lawak yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Menurut pandangan mereka, cara lawak dahulu dan sekarang sudah banyak berbeza. Tidak dinafikan ada lawak-lawak dahulu yang kurang menitikberatkan soal sensitiviti, namun masyarakat sekarang sudah tidak dapat menerima lawak yang melampau.

"Pada musim akan datang, apa yang kami berdua harapkan adalah lahirnya seorang pelawak yang akan mengecapi populariti dan fenomena yang pernah diraih oleh Mawi suatu masa dahulu," ujar Zizan mengakhiri perbualan.

Penyelamat Keadaan

Program Raja Lawak musim ke-5 yang akan membuka gelanggang pada 7 Januari 2011 dengan terus mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara dilihat sebagai satu keputusan yang tepat.

Ketika ditanya apakah keistimewaan kedua-dua pelawak itu sehingga masih lagi dikekalkan untuk musim terbaru, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani memberitahu kedua-duanya memiliki tarikan yang tersendiri.

"Boleh dikatakan gandingan mantap antara mereka berdua antara faktor kejayaan program Raja Lawak. Bukan hendak memuji, namun itulah hakikatnya jika dilihat kepada sambutan serta komen yang diterima.

"Antara komen daripada penonton rancangan ini, mereka beranggapan bahawa Johan dan Zizan merupakan penyelamat keadaan terutamanya ketika ada persembahan peserta yang tidak menyerlah. Jika tidak, tentu sukar untuk menarik penonton menonton program ini," jelas Nizam yang turut ditemani Penerbit serta Penerbit Eksekutif Raja Lawak, Nizam Jamaludin dan Nizam Amid pada sesi fotografi tersebut.


PENGURUS Saluran Astro Prima, Nizam Sani.


Sementara itu, uji bakat program Raja Lawak Astro musim ke-5 akan diadakan di enam buah lokasi yang bermula di Berjaya Megamal, Kuantan, Pahang dan berakhir di The Mall, Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, berita baik kepada semua warga Sarawak kerana buat julung kalinya uji bakat akan berlangsung di negeri tersebut. Ia akan diadakan di Go Down Theatherette, Kuching Waterfront pada 30 dan 31 Oktober ini.

"Jika pada musim lalu uji bakat telah diadakan di Sabah buat kali pertama, kini Sarawak pula menjadi lokasi terbaru. Saya yakin ramai penduduk di negeri itu yang akan menyertainya dan inilah peluang keemasan untuk menonjolkan bakat komedi yang dimiliki," katanya yang menjangkakan lebih ramai bakat baru yang dapat dicungkil.

Sama seperti musim-musim yang lalu, ia terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas sama ada lelaki ataupun perempuan, layak menghadiri sesi uji bakat.

sumber : www.kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates