All pictures & stories credit to the right owner. It's not mine. I'm just sharing it with you.
Showing posts with label jimmy shanley. Show all posts
Showing posts with label jimmy shanley. Show all posts

Monday, July 25, 2011

Suhaila Dedah Rahsia Bersengketa Dengan Jimmy Shanley

PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri, isteri kepada pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh, iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, mendedahkan faktor utama berlaku keretakan rumah tangga mereka adalah disebabkan suaminya itu pernah memukulnya serta terlalu mengongkong.

"Saya tidak suka Jimmy kerana perangainya pelik yang bukan seperti orang biasa. Semasa majlis pertunangan kami, rombongan pihak lelaki yang hadir hanya lima orang sahaja dan semasa majlis akad nikah, rombongan pihak lelaki tak sampai 10 orang... itu pun di kalangan ahli keluarga sahaja.

"Tidak ada artis atau selebriti yang hadir bagi pihak dia (suami). Untuk pengetahuan umum, itulah perangai Jimmy Shanley yang tidak mempunyai kawan," ujar Nursuhaila dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan kepada para wartawan dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di syarikat milik keluarganya, Perwanza Enterprise (M) Sdn Bhd, di Damansara Damai di sini, Isnin.

Suhaila, 25, berkata, sejak berumah tangga pada 1 Oktober tahun lalu, kehidupannya tidak tenteram kerana mereka sering bertengkar disebabkan Jimmy,32, enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan.

Malah dia menyifatkan Jimmy sebagai seorang yang "pelik" dan enggan bercampur gaul dengan ahli-ahli keluarganya yang lain dalam apa-apa majlis yang diadakan.

"Dia ingat dia tu superstar tak layak untuk bergaul dengan sanak saudara saya. Setiap kali majlis kenduri diadakan oleh bapa saya, Jimmy jarang bertegur sapa dan bersalaman dengan sanak saudara kami.

Suhaila akhirnya "membuka mulut" kenapa dia enggan bersuamikan Jimmy.

“Paling teruk saya pernah dipukul lebih kurang empat hingga lima kali sepanjang sebulan bersamanya. Sebelum akad nikah dan semasa berbulan madu di Koh Samui (Thailand) saya juga mengalami peristiwa yang serupa.

"Selama ini saya berdiam kerana tak nak publisiti murahan...saya orang bisnes dan tak suka publisiti macam ni.Banyak lagi yang saya pendamkan dan tak perlu dihebahkan kepada umum," ujarnya.

Tambah Suhaila, dia tidak faham mengapa Jimmy tidak cuba untuk berkomunikasi dengannya setiap kali mereka menghadapi masalah tetapi pengacara itu lebih senang mengadu kepada ibu Suhaila, Muniroh Kasim.

Dalam pada itu, Suhaila juga mendakwa, Jimmy tidak membuat sebarang pembayaran kos rawatan bersalinnya, bayaran mengurut mahupun wang untuk membeli lampin untuk anak mereka Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu.

"Dia kata dia seorang yang bertanggungjawab... semestinya dia sudah membuat persiapan tersebut dan bukan cakap kosong di media sahaja.

"Selepas bersalin, saya tidak pernah pun menghalang dia untuk berjumpa anak kerana saya tahu, Zahrah juga memerlukan Jimmy dan saya tidak akan halang kasih ayah terhadap seorang anak," ujarnya.

Jimmy dan Suhaila hanya mengecapi kebahagian selama 10 hari perkahwinan mereka.

Sementara itu Jimmy yang dihubungi mStar Online bagi mendapatkan reaksi ke atas dakwaan-dakwaan yang dibuat isterinya itu tidak menafikan yang dia pernah memukul Suhaila.

Tetapi katanya, dia berbuat demikian kerana isterinya telah mengingkari nasihatnya.

Peristiwa itu kata Jimmy berlaku sebanyak dua kali sahaja iaitu selepas perkahwinan dan semasa berbulan madu.

"Ya, memang benar. Saya pernah memukul Suhaila pada hari ketiga perkahwinan dan hari kedua kami bulan madu. Kejadian itu disebabkan dia mengingkari nasihat saya. Tetapi saya tidaklah memukul sehingga mencederakan dirinya,” ujar Jimmy.

Tambah Jimmy, dia tidak pernah mengongkong kehidupan Suhaila sebaliknya cuba mendidiknya menjadi seorang isteri yang baik selain memintanya mengurangkan aktiviti yang sering dilakukan semasa hidup sebagai seorang bujang.

Paling menyedihkan kata Jimmy sepanjang sebulan selepas perkahwinan, dia hanya sempat bersama Suhaila selama 10 hari sahaja dan selepas itu isterinya cuba mengelak untuk meluangkan masa bersama selain lebih pentingkan rakan-rakan berbanding suami sendiri.

Mengenai tuduhan Suhaila kononnya Jimmy tidak membayar kos bersalin, katanya masalah itu timbul kerana dia sendiri tidak diberitahu mengenai hari kelahiran anaknya.

"Saya hanya diberitahu menerusi SMS pada hari kedua bahawa anak saya sudah dilahirkan tetapi dia tidak beritahu saya bila dia akan keluar (wad) jadi macam mana saya mahu menjelaskan bil perubatannya itu?" soal Jimmy.

Mengenai dakwaan isterinya yang majlis perkahwinan mereka tidak dihadiri oleh rakan-rakan artis yang lain, Jimmy mengakui memang dia tidak ramai kawan rapat.

Jimmy juga bertegas, setiap kenyataan yang diberinya selama ini bukan kerana ingin meraih publisiti murahan sepertimana yang didakwa kerana sepanjang tujuh tahun bergelar selebriti, dia tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi murahan.

Tambah Jimmy, dia juga mengakui, sepanjang masalah rumah tangganya berlaku, dia sering mengadu kepada ibu mertuanya tetapi itu berlaku kerana kesukaran untuk berhubung dengan Suhaila sendiri.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu. Jimmy memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya selepas mereka tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

sumber : www.mstar.com.my

Monday, April 4, 2011

Jimmy Shanley Luah Perasaan Mengenai Sikap Isteri

SHAH ALAM: Pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Salleh memberitahu isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah tanpa keizinannya.

Menurut Jimmy lagi, Nursuhaila juga tidak meminta maaf daripadanya sebelum bertolak ke Mekah pada 25 Februari lalu bersama ahli keluarganya.

“Saya ada ke majlis doa selamat yang diadakan keluarga Nursuhaila atas pelawaan keluarga mertua kerana mungkin boleh minta maaf.

“Tapi saya duduk berjam-jam di situ macam orang asing,” katanya dan menambah berasa sedih kerana telah berniat untuk mengerjakan umrah bersama isteri.

Jimmy, 31, yang ditemui semasa menghadiri prosiding sebutan kes nusyuz terhadap Nursuhaila, 25, di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin, juga menitipkan pesan supaya isterinya kembali kepada ajaran agama.

“Sebagai suami, saya boleh menutup mata dan memaafkan kerana faham isteri boleh jadi emosional. Saya tidak kejam.

“Tapi walau kaya, cantik dan bijak macam mana pun, suami tetap di atas. Itu perintah Allah, bukan saya yang kata.

“Kalau suami perompak sekali pun, selagi dia tidak suruh melakukan dosa-dosa besar, suami harus dituruti,” tambahnya.

Selain itu, Jimmy juga mengakui dia tidak sempat untuk bersolat jemaah dengan Nursuhaila, walaupun sejak kecil telah menanam impian untuk bersolat bersama isteri.

Dia juga memberitahu, Nursuhaila ada meminta cerai semasa mereka bersemuka di luar kediaman keluarga wanita tersebut pada 28 November 2010.

Selepas tarikh tersebut, Jimmy memberitahu Nursuhaila tidak lagi menjawab panggilannya mahupun membalas khidmat pesanan ringkas (SMS)yang dihantar.

“Kita jangan memprejudiskan masa depan anak yang masih belum dilahirkan.

“Saya tak minta 10 sen pun wang dia atau keluarganya. Saya hanya mahu anak dijaga oleh saya.

“Kalau boleh memang saya nak sama-sama jaga, tapi kalau dah tak berminat, nak buat macam mana?,” katanya.

Jimmy yang mengakui telah membuang egonya dalam usaha mempertahankan perkahwinannya juga bersyukur kerana kejadian yang berlaku menyebabkan dia banyak bermunajat kepada Allah.

“Saya tidak kata saya seorang yang alim atau warak. Tetapi saya banyak belajar, baca buku-buku walaupun ibu bapa saya tak sempat untuk mengajar saya.

“Saya tidak hisap rokok, tidak pernah minum arak walau seteguk, tidak berjudi, bukan kaki disko dan bukan kaki perempuan. Saya hanya pernah bersama dengan seorang sahaja perempuan.

“Langkah saya pendek kerana ramai yang kenal. Saya jenis yang suka duduk di rumah. Kerja rumah saya buat, baju hantar ke dobi dan makan pun di luar.

“Apa yang saya mahu mudah sahaja, hanya layan saya sebagai seorang suami. Jika itu pun tidak boleh dilakukan, ada sesuatu yang silap,” tambahnya.

Jimmy juga berharap agar pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan menjadikan masalah rumah tangganya sebagai pengajaran.

Terdahulu, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat menetapkan supaya permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan oleh Jimmy disebut semula pada 23 Mei depan.

Ini untuk memberi peluang kepada peguam syarie Saadiah Din yang mewakili Nursuhaila untuk memfailkan pembelaan terhadap permohonan kembali taat.

Saadiah juga diarahkan untuk melengkapkan pembelaan Nursuhaila bagi kes nusyuz memandangkan terdapat tujuh perenggan yang tidak dijawab pada pembelaan yang diserahkan kepada Jimmy.

Jimmy diwakili peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus.

Pada prosiding itu, Nursuhaila yang kini mengandung enam bulan hadir dengan seorang lelaki dipercayai pengawal peribadinya.

Jimmy dan Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh pada 1 Oktober 2010.

Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986.

Bagaimanapun, mereka hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari yang menyebabkan Jimmy mmfailkan permohonan kemabali taat pada 3 Januari lalu dan diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lalu.

sumber : www.mstar.com.my

Monday, February 21, 2011

Jimmy Shanley Dan Isteri Ke Mahkamah 8 Mac

PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh difahamkan akan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 8 Mac depan berhubung permohonan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Sumber memberitahu mStar Online, kes tersebut pada awalnya ditetapkan untuk sebutan pada Selasa (hari ini), tetapi terpaksa ditunda kepada tarikh lain ekoran ketiadaan hakim.

Turut difahamkan, permohonan itu difailkan sendiri oleh pengacara Trek Selebriti tersebut pada awal tahun ini.

Kemelut rumah tangga Jimmy Shanley, 31, mula diperkatakan selepas sebuah akhbar tabloid pada 11 November lalu, melaporkan Jimmy tidak menyangkal perkahwinannya sedang bergelora.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya pula, Jimmy yang dihubungi oleh mStar Online menafikan berita tersebut dan menyifatkanya sebagai gosip semata-mata.

Jimmy turut memberitahu, mereka masih dalam keadaan berbulan madu dan Nursuhaila Eliani, 25, telah disahkan mengandung empat minggu.

Pada 11 Januari lalu, kelibat Jimmy yang dilihat di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, sekali lagi menimbulkan spekulasi mengenai rumah tangganya yang dikatakan semakin rapuh.

Bagaimanapun, Jimmy menerusi kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berkata, dia tidak dapat memberi sebarang komen kerana mahu menjaga hati keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu berhubung perkara terbabit. Beliau juga mengharapkan semua peminat dan orang ramai dapat berdoa agar perkahwinan mereka itu akan terus kukuh dan kekal buat selama-lamanya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor dengan hantaran sebanyak RM31,186, bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi pula diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

sumber : www.mstar.com.my

Monday, January 10, 2011

Kemelut Rumah Tangga, Jimmy Ajak Peminat Berdoa

PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh,30, enggan mengulas mengenai ikatan perkahwinan yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, yang dikatakan semakin rapuh apabila dia dilihat muncul di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, Isnin.

Jimmy dalam satu kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada mStar Online berkata, dia tidak dapat memberi sebarang komen kerana mahu menjaga hati keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu berhubung perkara terbabit.

“Saya tahu isu rumah tangga saya masih ramai yang buat spekulasi. Saya minta maaf kepada semua wartawan. Bukan saya tak mahu kongsi masalah ini tetapi saya harus jaga nama naik keluarga mertua dan pihak-pihak tertentu,” katanya, Isnin.

Jelas Jimmy dalam SMS tersebut, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri.

Katanya, sudah menjadi adat sesebuah perkahwinan itu mesti ada pasang surutnya tetapi dia menganggap apa yang dilaluinya hari ini adalah ketentuan Allah.

“Mungkin juga dugaan awal yang kami lalui ini akan menguatkan lagi ikatan perkahwinan kami pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagaimanapun pengacara Trek Selebriti ini berharap semua peminat dan orang ramai dapat berdoa agar perkahwinan mereka itu akan terus kukuh dan kekal buat selama-lamanya.

mStar Online difahamkan, Jimmy hadir ke mahkamah bersama peguamnya bagi menyelesaikan tuntutan nusyuz atau perintah kembali taat yang dibuat terhadap isterinya sebelum ini.

Bagaimanapun isterinya dikatakan tidak menghadirkan diri sehingga menyebabkan kes berkenaan terpaksa ditunda sehingga Februari depan.

Kata Jimmy lagi, dia akan memaklumkan kepada pihak media sekiranya terdapat apa-apa perkembangan positif dan menggembirakan mengenai rumah tangga mereka itu.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, Selangor dengan hantaran sebanyak RM31,186, bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi pula diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

sumber : www.mstar.com.my

Thursday, December 16, 2010

Perkahwinan Retak, Jimmy Shanley & Isteri Tidak Tinggal Sebumbung

Mudah-mudahan kemelut rumah tangga Jimmy dan Nursuhaila Eliani dapat diselamatkan.

PETALING JAYA: Rumah tangga pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh,30, yang dibina dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy,24, semakin rapuh apabila kedua-dua mereka dikatakan sudah tidak tinggal serumah sejak beberapa minggu lalu.

Menurut maklumat yang diterima mStar Online, pasangan tersebut mengambil pendekatan berkenaan apabila berlaku masalah dalam rumah tangga mereka.

“Buat masa ini Jimmy tinggal di rumahnya di Subang Jaya manakala Nurshuhaila Eliani tinggal dengan keluarganya di Sungai Buloh, Selangor. Mereka dalam usaha untuk menyelamatkan rumah tangga itu,” kata sumber berkenaan, Rabu.

Malah ujar sumber tersebut lagi, pasangan berkenaan sudah mendapatkan khidmat kaunseling bagi memulihkan keadaan tetapi setakat ini usaha tersebut tidak mencapai apa-apa perkembangan positif.

Difahamkan, kemelut rumah tangga mereka terjadi apabila ada pihak yang cuba mempengaruhi Nursuhaila Eliani kononnya Jimmy hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kekayaan keluarga wanita berkenaan yang merupakan sorang jutawan dan pengeluar produk kecantikan Natasya.

Katanya, disebabkan terpengaruh dengan tuduhan berkenaan, wanita itu mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada Jimmy termasuklah meminta untuk tidak tinggal bersama sehingga menyebabkan perkahwinan mereka itu menjadi bertambah parah.

Kata sumber itu lagi, setakat ini hubungan Jimmy dengan keluarga mentuanya berada dalam keadaan baik malah mereka sama sekali tidak mahu melihat perkahwinan yang dibina dengan kos mencecah ratusan ribu ringgit itu hancur begitu sahaja.

“Jimmy dan keluarga isterinya sangat baik. Malah mereka tiada masalah dengan Jimmy tetapi mereka sendiri kecewa apabila anak perempuan sendiri termakan kata-kata dan hasutan orang lain.

“Adalah lebih baik Nursuhaila Eliani membuat pertimbangan yang wajar serta berfikiran lebih positif agar rumah tangga mereka itu kembali pulih dan dapat diselamatkan,” katanya.

Tambah sumber itu lagi, Jimmy menyerahkan kepada takdir bagi menentukan kedudukan rumah tangganya kerana dia telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan keadaan.

Jimmy yang dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut tidak menjawab panggilan telefon selain gagal mebalas mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pasangan tersebut berkahwin pada 1 Oktober lalu di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dengan hantaran sebanyak RM31,186, bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.

Majlis resepsi pula diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

sumber : www.mstar.com.my

Wednesday, December 1, 2010

Jimmy Shanley: Berdiam Diri Adalah Yang Terbaik

KUALA LUMPUR 1 DIS 2010: Selesa mendiamkan diri daripada berterusan menjawab tentang hal yang berkaitan dengan kisah rumahtangganya, pengacara Jimmy Shanley mengakui ia merupakan langkah terbaik yang kini sedang dipraktikkannya.

Tidak mengerti mengapa gosip tersebut bertebaran di angkasa, anak kelahiran Ipoh, Perak tidak lelah mahupun kecewa sebaliknya menganggap apa yang berlaku itu bagaikan sudah dijangka.
"Tak ada apa yang berlaku dan saya pun tak tahu mengapa tiba-tiba kisah rumahtangga saya menjadi isu. Baru dua bulan kami melayari ikatan perkahwinan dan tiba-tiba gosip yang tidak enak pula kedengaran.
"Begitupun, gosip ini tak mengecewakan saya. Sebaliknya saya dah boleh baca perkara sebegini akan berlaku kerana dah biasa dengan asam garam yang berkaitan dengan dunia selebriti ini," katanya dengan tenang sewaktu menjawab mengenai gosip rumahtangganya yang dikatakan bergoyang.
Menyambung perbualan, jelas lelaki berusia 31 tahun ini, dia dan keluarga juga tidak pernah membincangkan mengenai isu tersebut kerana baginya tiada apa yang ingin diperbualkan.
"Famili kami tak pernah berbincang mengenai isu ini sebab tak ada benda nak ditanya dan nak dijawab. Saya pun keliru, macam-macam cerita yang keluar sedangkan saya sendiri tak tahu mengenainya,"jelasnya yang kini berkerja bersama keluarga mertuanya.
Enggan mengeruhkan keadaan, tutur Jimmy berdiam diri lebih baik daripada berkata-kata serta dia mahu memberi tumpuan kepada isteri tercinta yang sedang mengandung lima minggu.
"Lebih baik diam daripada melayan gosip seumpama itu. Isteri saya sedang mengandung dan alhamdulillah isu-isu sebegini nampaknya langsung tidak menganggu dirinya," katanya lagi kepada murai.com.my.
Sementara itu, Jimmy amat teruja apabila diberi peluang mengendalikan lima episod Trek Selebriti (TS) musim ketujuh. Baginya kesempatan itu memberinya peluang untuk menghilangkan rindu terhadap rancangan tersebut.
"Saya dijemput untuk mengendalikan lima episod TS kerana Aril sibuk dengan pengambaran drama Kau Dan Aku. Dapatlah saya lepaskan rindu kerana rancangan itu macam dah sebati dalam hidup saya. Kalau boleht sajalah. memang saya nak kendalikan 13 episod tersebut tapi nak buat macam manakan dah dijemput hanya untuk lima episod saja, jadi saya bua
"Tapi selepas ini, jika ada tawaran untuk mengendalikan semula rancangan itu sememangnya saya menerima dengan tangan dan hati yang terbuka," katanya yang bakal muncul dengan sebuah rancangan baru di Astro tidak lama lagi.

sumber : www.murai.com.my

Sunday, November 14, 2010

Jimmy Shanley Ke Mahkamah Syariah?

Murai Batu tak tahu macam mana nak memulakan cerita ini. Sedang Murai Batu sedap-sedap bersantai di rumah, sekali kawan rapat Murai Batu menghubungi Murai Batu lalu menyampaikan cerita sadis ini.

Kata teman baik Murai Batu, pengacara comel, Jimmy Shanley dengarnya akan hadir ke mahkamah syariah dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan rumahtangganya. Tapi jelas teman Murai Batu dia sendiri tak pasti kehadiran Jimmy ke sana untuk mendapatkan kaunseling atau berbincang tentang prosedur perpisahan.

Emm, sedih juga Murai Batu mendengarnya, tapi tak tahulah betul atau tak cerita tersebut. Murai Batu harap sangat cerita itu tak betul. Yelah usia perkahwinan mereka belum pun masuk dua bulan dah dilanda badai. Lebih menyentuh hati Murai Batu ialah isteri Jimmy, Nursuhaila Eliani pun baru sahaja disahkan mengandung sebulan.

Memang sebelum ini Murai Batu ada mendengar kisah pergolakkan rumahtangga mereka namun Murai Batu ingat semuanya hanyalah khabar angin. Apa pun Murai Batu harapkan sangat cerita tersebut yang hanyalah satu omongan kosong saja.

Sekiranya betullah kisah ini, Murai Batu harap sangat Jimmy dan isteri banyak-banyak. bersabar. Tapi sekiranya tak benar, Murai Batulah insan pertama yang gembira kerana sekurang-kurangnya mahligai yang dibina pasangan itu masih lagi utuh.

sumber : www.murai.com.my

Friday, November 12, 2010

Rumah tangga Jimmy Shanley bergelora?

Belum reda kisah pasangan selebriti Rita Rudaini dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kini pergolakan rumah tangga 'pengantin baru' Jimmy Shanley, 30, dan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pula dikatakan sedang bergelora.

Usia perkahwinan baru memasuki angka dua bulan tetapi rumah tangga pasangan itu dikatakan retak menanti belah apabila Nursuhaila yang juga anak kepada pengasas produk kecantikan Nastasya, Datin Muniroh Kasim, bertindak meninggalkan rumah.

Jimmy yang dihubungi Sinar Harian semalam ternyata tidak menyangkal rumah tangganya sedang bergelora, namun menafikan isterinyameninggalkan rumah seperti yang didakwa.

“Apa yang boleh saya katakan, setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, pasti ada pasang dan surutnya. Bagi saya, itu semua lumrah hidup pasangan yang baru berkahwin.

“Saya hanya berserah. Itu yang boleh saya katakan buat masa ini. Agak sukar untuk saya ceritakan apa yang berlaku kerana hingga ke hari ini, saya sendiri masih kabur dengan kehidupan baru saya ini.

“Maklum sahaja, baru 41 hari kami melayari bahtera perkahwinan. Inai pun masih merah di jari. Lagipun ini peringkat permulaan untuk mengenali hati budi masing-masing,” kata Jimmy yang kini sedang menetap bersama keluarga mentua.

Bekas pengacara Trek Selebriti itu juga menjelaskan, hubungannya dengan keluarga mentua sangat baik, malah dia akan mula bekerja dengan syarikat mentuanya tidak lama lagi.

“Kami memang rapat. Boleh dikatakan saya selalu keluar dengan mentua saya. Pergi pasar, membeli-belah dan banyak lagi kami lakukan bersama-sama. Saya seronok dengan kehidupan baru saya dan cukup bahagia.

“Cuma saya tidak mahu cerita lebih-lebih kerana ini melibatkan keluarga. Berilah masa kepada kami. Yang pasti, saya berada di pihak yang benar. Jika tidak, pasti saya yang keluar dari rumah mentua.

“Apa yang berlaku, saya lalui dengan tenang dan sentiasa senyum. Orang kata diam lebih elok, kan? Jadi itulah yang saya gunakan agar segala-galanya baik-baik sahaja,” kata Jimmy yang cuba melakukan yang terbaik demi mengekalkan keharmonian rumah tangganya.

Sementara itu, isterinya, Suhaila gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.

Datin Muniroh Kasim pula enggan mengulas lanjut berhubung isu ini.

sumber : www.sinarharian.com.my

Thursday, November 11, 2010

Isteri Mengandung, Jimmy Nafi Masalah Rumah Tangga

PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 30, menerima berita gembira apabila isterinya, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimi, 24, disahkan mengandung empat minggu.

Menurut Jimmy perasaannya bercampur baur apabila dia mendapat tahu berita itu dan tidak sabar menantikan ahli baru dalam keluarganya.

"Dijangka anak kami bakal dilahirkan pada bulan Julai 2011. Ketika mendapat tahu berita yang saya bakal menjadi ayah, perasaan saya bercampur gembira, takut dan macam-macam. Maklumlah, bila melangkah ke fasa baru dalam rumah tangga, rasa pelik itu ada.

"Apa-apa pun saya harap anak di dalam kandungan itu adalah kembar. Senang sikit nak capai sasaran untuk dapatkan lima orang anak," seloroh Jimmy ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Sementara itu, ditanya mengenai gosip kononnya dia sedang mengalami masalah rumah tangga, Jimmy menafikan perkara itu.

"Pada pendapat saya, gosip akan datang dan pergi. Kami bahagia dan masih berada dalam keadaan berbulan madu.

"Ini pun saya masih lagi dalam “mood” bercuti dan baru satu program televisyen sahaja yang sedang saya lakukan.

"Biasalah, dalam keadaan isteri sekarang yang baru mengandung, perwatakannya berubah-ubah," jelasnya.

Akhbar Sinar Harian Khamis melaporkan Jimmy tidak menyangkal rumah tangganya sedang bergelora tetapi enggan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku.

Jimmy dan Norsuhaila bernikah di banglo mewah milik keluarga perempuan di di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, pada 1 Oktober lalu dengan wang hantaran sebanyak RM31,186

sumber : www.mstar.com.my

Monday, October 4, 2010

Jimmy sms kepada ibu mertua


JIMMY mencium dahi isteri penuh romantis ketika acara memotong kek pada majlis resepsi.


MENJELANG hari pernikahan, sebelum munculnya tanggal keramat 1 Oktober lalu, segudang perasaan meribut di jiwa bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 31. Dia tahu, melafaz nama Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pada acara akad nikahnya, transisi baru sebagai kepala keluarga pasti menunggu di haluan depannya.

Bukan tidak menyiapkan diri seawal mungkin untuk menempuh hidup baru bersama si penangkap hatinya yang merupakan puteri tunggal daripada tiga beradik itu. Jimmy sebaliknya membayang beragam emosi lain turut dirasai oleh setiap bakal mempelai sebelum munculnya hari berbahagia dipertauliahkan gelaran sebagai sang suami.

Tanpa berselindung, penama lengkap Jimmy Shanley Norjahan Saleh itu membuka cerita, entah kenapa dirinya berasa resah gelisah dan gementar malam sebelum diijabkabulkan. Bayangkan, Jimmy sempat melayangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu pengantin perempuan, Datin Muniroh Kassim gara-gara tidak sempurna lelap tidurnya.

“Kononnya saya hantar SMS kepada ibu Suhaila sebab hendak meluah perasaan selepas pulang menghantar kad jemputan kepada seorang teman sekitar 2 pagi. Tapi, dia tidak membalas pula sebab barangkali sudah tidur pada waktu itu. Kerana itu, saya melayan sendiri kebimbangan dalam diri selang beberapa jam sebelum bernikah.


JIMMY mencium tangan ibu mertuanya, Muniroh.


“Rasa berdebar sampai tidak boleh tidur. Malah, saya sempat fikir, ini menjadi malam terakhir tidur seorang diri. Jadi, saya semahunya menikmati saat ini kerana malam seterusnya sudah ada isteri,” kata Jimmy ketika ditemui usai majlis pernikahannya di kediaman Suhaila di Bandar Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor Sabtu lalu.

Tidak mencuri waktu panjang menyambung bicara, hos bersama Akademi Fantasia 8 (AF8) itu sekali lagi menghantar SMS kepada Muniroh. Tiada lain diinginkan, dia sebolehnya mahu merawat kekecewaan dialami dengan bertebar cerita kononnya Jimmy bernikah dengan Suhaila atas dasar harta.

“Saya tahu ada sebilangan pihak buat spekulasi kurang enak sebelum ini. Dan kerana itu, saya menerangkan semula kepada ibu Suhaila bahawa perkahwinan ini terjalin atas dasar cinta ditambah sudah lama sebenarnya saya memendam hasrat untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

“Ingatkan dapat jadi anak angkat saja, rupa-rupanya tanpa disangka jadi menantu pula,” jawab Jimmy tertawa nakal sambil diperhatikan Suhaila yang lebih banyak mengerling manja belahan jiwanya itu daripada membuka mulut sementelah tidak terbiasa berdepan dengan pihak media.

Ditebak tentang perasaannya selepas melalui tiga kali lafaz akad nikah untuk memperisterikan Suhaila, anak jati Ipoh, Perak itu terang-terangan memperlihat reaksi lega. Biar bibirnya mengungkap kelegaan itu, hakikatnya senyuman terpancar dari anak mata Jimmy, ternyata mengisytiharkan segala-galanya.


SITI NURHALIZA tidak ketinggalan menepung tawar pasangan pengantin pada majlis respesi di Kuala Lumpur Convention Centre, Ahad lepas.


“Siapa saja tidak gembira selepas selamat dinikahkan. Begitupun, ini sekadar permulaan kepada hidup saya dan Suhaila. Biasalah, selepas ini asam garam rumah tangga akan bermula. Dengan saya semakin berusia, harap dapat menjadi lebih matang dalam segala hal. Bahkan, saya kena seimbangkan kehidupan apatah lagi sudah punya isteri.

“Sebaik saja semua selesai termasuk resepsi perkahwinan ini, saya akan membawa Suhaila berpindah ke rumah sendiri di Subang Jaya, Selangor. Cuma, masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perancangan selepas mendirikan rumah tangga,” luah Jimmy yang mahukan lima cahayamata - empat lelaki dan satu perempuan.

Cinta selepas nikah

Dengan tiga kali lafaz, Jimmy selamat bergelar suami Suhaila pada pukul 4.40 petang Sabtu lalu selepas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah/Jurunikah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Mustafa Kamal Abu Bakar berwalikan bapa pengantin perempuan, Suhaimy Othman.

Jejaka kacukan Melayu-Australia yang kelihatan kacak dengan sepersalinan baju Melayu rona kelabu ilham Rizman Ruzaini itu memberi mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM31,186. Ia sebagai memperingati hari lahir isterinya yang jatuh pada 31 Januari 1986 sambil membawa sembilan dulang hantaran berbalas 11.

Kisah mereka bermula dengan satu bidikan lensa kamera sebagai selebriti dan peminat di Genting Highlands sekitar empat tahun lalu. Kuasa Yang Maha Esa tiada tolok tandingnya. Kemudian, mereka dipertemukan kembali Januari lalu sebelum kedua pihak mengambil kata putus mahu mengikat tali pertunangan pada 11 Jun 2010.

Dalam masa singkat, mereka kini sah menjadi suami isteri dari segi hukum dan agama. Mengenali antara satu sama lain secara serius sepantas kilat, justeru, Jimmy dan Suhaila mahu menjalin cinta selepas hari bahagia mereka.

Bagai menjadi lumrah apabila ada sesetengah pasangan pengantin baru lebih mendalami sesama sendiri selepas melafaz akad nikah.


PENGANTIN lelaki tiba pada majlis resepsi bersama pengantin perempuan dengan menaiki sebuah kereta mewah.


“Dengan tempoh perkenalan kami yang pantas, banyak lagi saya tidak tahu tentang isteri. Sama juga dengan keadaan Suhaila yang belum kenal secukupnya tentang saya,” akui Jimmy yang bakal berbulan madu di dalam negara tidak lama lagi dan memasang hajat untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada Februari tahun depan.

Dalam pada itu, Suhaila yang merupakan anak pengasas kepada produk kecantikan Natasha berkata, dia meluah kesyukuran kerana selamat bergelar isteri Jimmy. Biarpun nampak sedikit pemalu dan lontaran suaranya menebal dengan dialek Kedah, dia bagaimanapun cuba berkongsi emosi kepada himpunan pihak media yang duduk di depannya.

“Alhamdulillah, semua berjalan seperti dirancang. Tiada sebarang perbezaan walaupun kami telah disatukan. Jimmy boleh meneruskan kerjaya seni tanpa sebarang masalah manakala saya akan terus bekerja dengan famili. Sebagai isteri, sudah tentu saya akan terus menyokong dia dari belakang,” jelasnya yang memuja sikap humor dan menghormati suaminya kepada orang tua.

Pasangan itu mengadakan resepsi persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad, 3 Oktober lalu manakala sebuah lagi majlis untuk sebelah perempuan di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah (9 Oktober) dan diakhiri dengan pihak Jimmy di Ipoh seminggu kemudian.

sumber : www.kosmo.com.my

Saturday, October 2, 2010

Impian kecil pengantin jutawan


KISAH mempelai baru itu bermula dengan satu bidikan lensa di Genting Highlands empat tahun lalu. Sejak kali pertama merakamkan gambar atas dasar peminat dan artis, mereka tidak pernah bersua mahupun berhubungan.

Atas takdir yang mahu menyatukan mereka, satu panggilan telefon menjemput untuk hadir menyerikan satu majlis hari jadi menjadi sebab kepada bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 30, bertemu jodoh dengan seorang anak jutawan kosmetik.

Tidak sampai setahun menganyam cinta, mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri tepat pukul 4.40 petang Jumaat lalu.

Memilih tarikh 1 Oktober 2010, pernikahan Jimmy bersama Nursuhaila Eliani Datuk Shuhaimy, 24, berlangsung penuh meriah dengan hantaran dan mas kahwin berjumlah RM31,186.00.

Jumlah itu sebagai simbolik tarikh kelahiran Nursuhaila sendiri yang jatuh tanggal 31 Januari 1986.

Apabila pengacara yang baru sahaja diberi tugasan sebagai pengacara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu berjodohan dengan puteri tunggal daripada tiga beradik daripada keluarga pengasas produk kecantikan Natasha, ada yang melihat ia berlaku atas dasar harta kebendaan.

Sementelah Jimmy sendiri mengakui dia dan Nursuhaila masih perlukan banyak masa untuk saling mengenali setelah mendirikan rumah tangga.

Berikut ialah temu bual dengan pasangan pengantin baru itu:

Khabarnya bapa Nursuhaila membelikan sebuah limousin sebagai hadiah perkahwinan kalian, adakah ia akan menjadi milik kalian berdua?

NURSUHAILA: Benar bapa saya baru sahaja membeli sebuah limousin tetapi itu bukanlah hadiah kepada kami berdua, tetapi untuk kegunaan pada majlis perkahwinan sahaja.

Selepas segalanya selesai nanti, limousin itu akan dijadikan kenderaan pelancongan dan boleh disewa di resort kami yang terletak di Cameron Highlands.

Apa uniknya Nursuhaila kerana dalam masa yang singkat sahaja Jimmy boleh memutuskan untuk berumah tangga?

JIMMY: Banyak lagi masa diperlukan untuk kami saling mengenali. Sepanjang berkawan kami jarang keluar kerana kesibukan jadual saya. Secara luaran memang macam biasa, tetapi dalam hati banyak lagi yang perlu saya ketahui.

Soal harta juga banyak diperkatakan dan persoalan itulah yang saya luahkan kepada ibu mentua saya menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) pada malam dan pagi menjelang pernikahan. Saya memang mahu jadi sebahagian daripada keluarga ini.

Hidup kalian mungkin tidak banyak masalah dari segi kewangan, Nursuhaila sendiri membesar dalam serba kemewahan, mungkin kalian sendiri ada menyimpan impian kecil bukan seperti yang dibayangkan oleh masyarakat umum.

NURSUHAILA: Saya memang diajar bersederhana dalam semua segi. Saya juga seorang yang sederhana.

JIMMY: Saya ada banyak impian kecil yang mahu dilakukan bersama Suhaila selepas dia menjadi isteri saya, kami mahu melakukan aktiviti selam skuba bersama atau bermotor besar keliling Malaysia berdua. Setahun pertama adalah proses mencuba dan memperbaiki kesilapan masing-masing.




Bagaimana dengan bulan madu?

Kami tiada rancangan bulan madu yang khusus tetapi satu sahaja hasrat saya selepas bernikah iaitu mahu menunaikan ibadat umrah bersama isteri, mungkin sekitar Februari tahun depan. Kalau berbulan madu sekali pun, saya pilih untuk cuti-cuti Malaysia sahaja, mungkin ke Cameron (ketawa).

Ada khabar menyatakan Jimmy akan menguruskan perniagaan keluarga mentua selepas ini?

Perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan. Memang ada perbincangan tentang hal itu tetapi biarlah segala urusan perkahwinan ini diselesaikan terlebih dahulu. Lagipun saya masih terikat dengan kontrak bersama Astro. Karier seni saya akan berterusan dan jika AF masih mahukan saya, saya akan mengacarakan AF tahun depan.

Jimmy khabarnya lebih rapat dengan ibu mentua, Datin Muniroh berbanding Nursuhaila?

Memang saya rapat dengan ibu mentua. Orang kata, kalau mahukan anak kena pandai ambil hati ibunya.

Ada masalah dengan dialek Kedah yang menjadi pertuturan isteri dan keluarga mentua?

Saya okey dengan cara mereka. Lepas ini saya akan ajar dia (Nursuhaila) bercakap bahasa Inggeris dengan saya (berseloroh).


sumber : www.kosmo.com.my

Jimmy Shanley selamat bernikah dengan 3 lafaz.




Tahniah buat Jimmy Shanley kerana dia sudahpun sah bergelar suami kepada Nursuhaila Eliani pada pukul 4 petang tadi di rumah pengantin perempuan yang terletak di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh.. Gara-gara terlalu gugup.. setelah tiga kali lafaz baru la pernikahan Jimmy Shanley dengan Nursuhaila Eliani diakui sah oleh tok kadi.. Hampir 500 tetamu yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis pernikahan Jimmy Shanley dan Nursuhaila ni…

Pihak lelaki telah membawa sembilan dulang hantaran yang berupa sebuah jam tangan, satu set barang kemas, sebuah komputer iPad, tas tangan, alatan dandanan dan wangian, sepersalinan pakaian, sepasang kasut, wang mas kahwin dan sebentuk cincin pusaka peninggalan dan wasiat arwah ibunda pengantin lelaki.

Manakala pihak perempuan pula membalas dengan sebelas dulang hantaran yang berupa sepasang kasut, seutas jam tangan, sehelai baju, sehelai seluar, sebuah iPhone, kek, manisan, coklat, sirih junjung, set dandanan dan sepasang baju Melayu.

Pihak Jimmy Shanley juga turut membawa duit hantaran sebanyak RM31’186. bersamaan dengan tarikh lahir Nursuhaila Eliani iaitu pada 31 Januari 1986…

Majlis pernikahan Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani sudah pun selesai, Kini kedua-dua pengantin baru ni hanya menunggu untuk majlis persandingan yang akan diadakan pada malam esok di Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)


sumber : http://www.mygosip.com

free counters

My Blog List

Archive

Labels

 

sharing is caring | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates